Cuaca panas melampau buru nyawa manusia

Gelombang haba ekstrem yang kini menyelebungi dunia menjadikan ia lokasi yang berisiko maut buat manusia. (FOTO: Prevention.web.net)
- Advertisement -

Dua kes kematian akibat strok haba di Kelantan beberapa hari selepas umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada Sabtu (22 April) perlu dipandang serius.

Kes membabitkan seorang kanak-kanak perempuan, Nur Imani Ahmad Faris Fazli dan lelaki, Muhamad Syamil Aqil masing-masing berusia setahun tujuh bulan dan 11 tahun yang  meninggal dunia pada hari raya keempat, Selasa (25 April).

Selepas bedah siasat dilakukan, didapati organ dalaman mereka termasuk buah pinggang, paru-paru dan jantung mengalami penyahhidratan atau dehidrasi (hipohidrasi) iaitu gejala kehilangan berlebihan bagi air dalam tubuh, menyebabkan gangguan terhadap proses metabolisme badan.

- Advertisement -

Dalam kes Muhamad Syamil dari Kampung Perupok di Bachok, yang dikatakan bermain di luar rumah pada hari raya pertama dan kedua sewaktu cuaca panas dan kemudian mengalami demam biasa dan cirit-birit pada hari raya ketiga, hasil bedah siasat mendapati buah pinggang dan jantungnya sudah hangus memandangkan bahagian dalamannya sudah kosong, yang mana air dan darah dalam badannya sudah kering.

Sementara punca kematian hasil bedah siasat terhadap Nur Imani dari Kampung Kota di Kota Bharu pula mendapati air di dalam badannya kering dengan paru-parunya sudah seratus peratus mengecut.

Amaran 1 Syawal 2023

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), sejak hari raya pertama pada 1 Syawal (22 April) lagi, sudah mengeluarkan amaran bahawa beberapa kawasan di Malaysia akan dilanda suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Amaran selanjutnya dikeluarkan pada hari raya kedua, Ahad (23 April), bahawa tiga daerah di Kelantan dan dua daerah di Terengganu berterusan dilanda suhu panas antara 35 hingga 37 darjah Celcius melibatkan kawasan Tanah Merah dan Kuala Krai di Kelantan manakala Terengganu meliputi Kuala Terengganu dan Dungun; selain Nabawan di Sabah yang turut diklasifikasikan dalam status suhu panas berjaga-jaga.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan tersebut telah diminta untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Amaran yang sama telah dikeluarkan pihak berkuasa Thailand pada hari raya pertama, 22 April, kepada penduduk di sebahagian besar kawasan di negara itu termasuk Bangkok; yang mana menurut Jabatan Meteorologi Thailand, suhu mencecah 42 darjah Celsius di daerah Bangna di Bangkok, manakala indeks haba pula mencapai rekod setinggi 54 darjah Celsius.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand pula ketika itu menjangkakan suhu melepasi bacaan 40 darjah Celsius di sekurang-kurang 28 wilayah di negara itu.

Pelepasan gas rumah hijau

Sudah tentu cuaca melampau yang dialami itu ada kaitan dengan pelepasan gas rumah hijau. Laporan terbaharu oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), berdasarkan konsensus kajian 700 saintis memberi amaran bahawa pelepasan gas rumah hijau perlu dikurangkan sebanyak separuh menjelang 2030 (dari tahap pasa 2019), untuk mengelakkan pemanasan global melebihi 1.5 darjah Celcius.

Sehubungan itu, satu kajian terbaharu telah menyerlahkan kawasan yang kurang bersedia di seluruh dunia yang paling berisiko terhadap kesan buruk akibat suhu panas terik melampau.

Penyelidikan yang diterajui Universiti Bristol, yang diterbitkan dalam jurnal Nature Communications bertarikh 25 April 2023 itu menunjukkan bahawa haba ekstrem yang tidak pernah berlaku sebelum ini digabungkan dengan kelemahan sosioekonomi meletakkan wilayah tertentu, seperti Afghanistan, Papua New Guinea dan Amerika Tengah berada dalam zon yang diklasifikasikan sebagai ‘dalam keadaan paling bahaya’.

Negara-negara yang belum mengalami gelombang haba yang paling kuat selalunya sangat terdedah, kerana langkah penyesuaian selalunya hanya diperkenalkan selepas bencana itu berlaku. 

Peluang tinggi peningkatan risiko rekod suhu tinggi sedia ada dipecahkan, dicetuskan lagi dengan faktor seperti populasi yang semakin meningkat, serta penjagaan kesihatan dan penyediaan tenaga yang terhad.

Kajian itu meletakkan negara dengan populasi padat iaitu Beijing dan Eropah Tengah turut berada dalam senarai kawasan panas melampau, dengan jangkaan bahawa gelombang haba yang memecahkan rekod suhu tertinggi sedia ada, berlaku di kawasan berpenduduk padat ini akan menjejaskan berjuta-juta orang.

Sepanyol pecah rekod suhu tertinggi

Terbaharu, pada Khamis (27 April), Sepanyol merekodkan suhu paling panas sepanjang April tahun ini, mencecah 38.8 Celcius, menyebabkan pakar kajian cuaca di negara itu terkejut dengan skala haba yang dialami di seluruh selatan negara itu dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Ini bukan perkara biasa. Suhu sudah benar-benar tidak terkawal tahun ini,”  kata jurucakap pejabat Metereologi Sepanyol, Cayetano Torres kepada BBC News.

Sehubungan itu, berdasarkan kajian saintifik terbaharu berkenaan, penyelidik menyeru penggubal dasar di kawasan ‘hotspot’ (yang disenaraikan dalam risiko paling berbahaya) untuk mempertimbangkan pelan tindakan yang berkaitan bagi  mengurangkan risiko kematian dan kemudaratan angkara iklim ekstrem, terutama akibat strok haba seperti dua kes yang berlaku di Kelantan itu.

Penyelidik utama kajian itu, pakar saintis iklim, Dr Vikki Thompson dari Institut Alam Sekitar Universiti Bristol Cabot, berkata: “Memandangkan gelombang haba kini berlaku lebih kerap, kami perlu lebih bersedia. 

“Kami telah mengenal pasti kawasan yang mungkin ‘tak bertuah’ (paling berisiko)  setakat ini – sebahagian daripada wilayah ini mempunyai populasi yang berkembang pesat, ada yang negara membangun, ada yang sudah sangat panas. Kita perlu bertanya sama ada pelan tindakan haba di kawasan ini sudah mencukupi.”

Penyelidik menggunakan statistik nilai ekstrem, iaitu kaedah untuk menganggarkan tempoh pulangan kejadian yang jarang berlaku; dan set data besar daripada model iklim dan pemerhatian untuk menentukan kawasan di seluruh dunia di mana rekod suhu tertinggi sedia ada berkemungkinan besar akan dipecahkan secepat mungkin; dan akibatnya masyarakat berada dalam bahaya  mengalami kepanasan melampau.

Penyelidik juga memberi amaran bahawa keterlaluan yang tidak munasabah secara statistik, apabila rekod semasa dipecahkan oleh margin yang kelihatan mustahil sehingga ia berlaku, dan ia boleh berlaku di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini. 

Peristiwa yang tidak mungkin dijangka ini didapati berlaku di hampir satu pertiga (31 peratus) daripada kawasan yang dinilai di mana pemerhatian dianggap cukup dipercayai antara tempoh 1959 dan 2021, seperti gelombang haba Amerika Utara Barat 2021.

Bersedia selamatkan nyawa anda

Penyelidik bersama kajian itu, Dann Mitchell, Profesor pakar dalam Sains Atmosfera dari Institut Alam Sekitar Universiti Bristol Cabot, berkata bahawa perubahan iklim disebabkan oleh manusia telah menyebabkan peningkatan dalam kekerapan, keamatan dan tempoh gelombang haba, yang berpotensi membawa kepada beribu-ribu lagi kematian di seluruh dunia.

“Meningkatkan pemahaman kita tentang tempat masyarakat manusia yang tidak bersedia menghadapi iklim ekstrem boleh membantu mengutamakan mitigasi di kawasan yang paling terdedah. 

“Sebagai mengiktiraf akibat berbahaya perubahan iklim, yang dibuktikan oleh kerja pakar iklimnya, pada 2019 Universiti Bristol menjadi universiti UK pertama yang mengisytiharkan kecemasan iklim,” katanya.

Beliau seterusnya mengeluarkan amaran keras kepada penduduk dunia: “Bersedialah untuk menyelamatkan nyawa anda semua!” 

“Kami telah melihat beberapa fenomena gelombang haba yang paling tidak dijangka di seluruh dunia mengakibatkan kepada kematian berkaitan haba dalam puluhan hinggalah ribuan nyawa. 

“Dalam kajian ini, kami menunjukkan bahawa fenomena rekod suhu tertinggi sedia ada bakal dipecahkan boleh berlaku di mana-mana sahaja di atas dunia ini. Kerajaan di seluruh dunia kini perlu bersedia!” – HARAKAHDAILY 28/4/2023

- Advertisement -