Strok haba: Elak anak bermain di tengah panas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Orang ramai disaran mengurangkan aktiviti di luar agar tidak mudah terdedah dengan cuaca panas sekarang bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, ibu bapa hendaklah mengawal anak supaya tidak bermain di luar rumah di tengah panas.

“Orang ramai juga dinasihat memperbanyakkan minum air dengan minima 2.5 liter sehari,” katanya di sini.

Beliau diminta mengulas berhubung kematian dua kanak-kanak, iaitu Muhamad Syamil Aqil, 11 dan seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 bulan di Kampung Kota di sini yang dipercayai disebabkan stroke haba.

Sementara itu, ibu allahyarham Syamil Aqil, Wanie Alias, 32 meminta orang ramai menjadikan kejadian yang menimpa anaknya sebagai iktibar agar tidak membiarkan anak-anak bermain di luar.

Beliau berkata, sebelum itu anaknya kelihatan aktif dan sihat keluar beraya bersama adik beradik serta saudara mara pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu sangat aktif bermain basikal sebelum demam dan cirit-birit pada hari raya ketiga.

“Saya sentiasa memantau keadaan anak pada setiap jam dan mendapati suhunya sekitar antara 37 hingga 38 darjah celcius.

“Pada hari raya keempat selepas Subuh, saya lihat keadaan anak lemah dan membawanya ke klinik kesihatan, namun ketika sedang bersiap dia secara tiba-tiba diserang sawan.

“Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Balai dan sampai di sana doktor terus memberi oksigen dan branula untuk masuk air. Namun, nadinya terhenti dan dia pengsan,” katanya di sini.

Menurutnya, doktor memberi bantuan yang terbaik dengan bantuan kecemasan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Bagaimanapun katanya, doktor meminta dia dan suami reda sebelum anak mereka menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.27 pagi.

Wanie reda di atas takdir yang ditimpa ke atas keluarganya walaupun anak sulungnya telah pergi buat selama-lamanya.

Sementara itu Mumtaz melahirkan rasa sedih di atas kejadian yang menimpa kepada dua-dua keluarga berkenaan.

“Kak Taz berharap kedua-dua keluarga mangsa bersabar menempuh ujian yang ditakdirkan untuk kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2023

- Advertisement -