
KOTA BHARU: Hasrat Ahli Parlimen Arau Dato’ Seri Shahidan Kassim yang berminat bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor akan dibincang pimpinan parti.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sudah menjadi amalan parti itu menyerahkan sebarang keputusan termasuk mengenai calon kepada pemimpin tertinggi.
Katanya tidak menjadi kesalahan untuk beliau (Shahidan) menyatakan hasratnya bertanding pada PRN tidak lama lagi.
“Kita dalam PAS tidak ada pemilihan dibuat mengikut kehendak individu sebaliknya pimpinan yang akan menentukan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri PAS Pengkalan Chepa dekat sini semalam.
Baru-baru ini media melaporkan Shahidan memberi bayangan akan bertanding pada PRN di peringkat Dun di Selangor.
Malah bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengakui mendapat sokongan daripada pemimpin bekas Umno termasuk Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin bagi membantu kemenangan PN. – HARAKAHDAILY 28/4/2023




















