BAKKAH sukses anjur tadarus, khatam al-Quran 2023

Program tadarus al-Quran 2023 kakitangan Harakah anjuran BAKKAH sejak awal Ramadan diakhiri dengan acara khatam di Kuala Lumpur pada hari ini, 14 April 2023. (HARAKAHDAILY/J Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap Muslim yang masih hidup di dunia ini sangat menantikan kedatangan Ramadan kerana pada bulan ini, setiap amalan kebaikan yang dilakukan pasti akan dilipat gandakan ganjarannya oleh Allah SWT.

Salah satu pengisian aktiviti yang telah menjadi tradisi pada bulan Ramadan adalah melakukan tadarus al-Quran. 

- Advertisement -

Tadarus al-Quran sebenarnya telah wujud pada zaman Nabi Muhammad SAW lagi, telah pun menjadi ikutan dan dihayati oleh para sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga masa kini.

Justeru, sempena setiap Ramadan, Galeri Media Sdn. Bhd. melalui Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) tidak ketinggalan menganjurkan program tadarus al-Quran.

Pengerusi BAKKAH, Shaheedul Thamim Shamsuddin berkata, sepanjang bulan Ramadan kali ini, BAKKAH sekali lagi turut mengambil peluang keberkatan bulan mulia ini untuk kembali menganjurkan program tadarus al-quran melibatkan kesemua kakitangan di syarikat ini. 

Beliau memberitahu, dalam program itu, seramai 40 orang kakitangan di ibu pejabat Kuala Lumpur telah berganding bahu dengan kakitangan yang bertugas di negeri masing-masing seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan sebagainya.

“Daripada jumlah ini, sebanyak enam kumpulan telah diwujudkan yang mana satu kumpulan telah dilantik seorang ketua mewakili kumpulan tersebut. 

“Setiap kumpulan ini, mempunyai ahli seramai enam hingga tujuh orang yang akan menyertai bacaan al-Quran. 

“Setiap kumpulan juga akan diberikan lima juzuk yang berlainan untuk dibaca. Pengisian aktiviti bertadarus ini telah dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan iaitu pada hari Isnin hingga Khamis, bermula jam 9.30 pagi hingga 10 pagi,” ujarnya.

Maka, katanya lagi, bagi menjayakan program tadarus ini, setiap ketua kumpulan memainkan peranan penting iaitu mereka akan membuat perbincangan terlebih dahulu dengan ahli kumpulan samada hendak melaksanakan bacaan atas talian atau pun bersemuka. 

“Hal ini dapat memberikan peluang kepada kakitangan Harakah yang berada di negeri masing-masing  untuk sama-sama menyertai program tadarus ini.  

“Alhamdulillah, setelah tamat 30 juzuk bertadarus Al-Quran, pada hari ini BAKKAH telah meraikan kakitangan yang menyertai tadarus Al-Quran sepanjang Ramadan.

“Jadikanlah al-Quran sebagai panduan dan petunjuk yang lengkap kepada kehidupan kita ,semua. Membacanya dan mentadabburnya diganjari pahala oleh Allah SWT,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar semua kakitangan Harakah dapat meneruskan lagi aktiviti bertadarus ini pada masa-masa akan datang. – HARAKAHDAILY 14/4/2023

- Advertisement -