
KUALA LUMPUR: “Dalam perjuangan Islam mestilah bersifat tidak memperbesarkan perkara yang kecil dan juga tidak mengecilkan perkara yang besar.”
Begitu mendalam sekali pengertian dari ucapan pembuka kata oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Dr. Azhar Yaakob dalam program Tazkirah Zohor Ramadhan yang berjudul, Memburu Al-Qadr.
Beliau menekankan bahawa sebagai setiap umat Islam wajib mengelakkan diri daripada perkara yang disebut khilafiyah iaitu perkara yang berselisihan faham.
“Antara perselisihan faham yang benar-benar membuang masa merupakan tarawih lapan rakaat atau 20 rakaat, di antara tarawih ada selawat atau tidak, sehingga menyebabkan ada pihak yang membidaahkan kepada yang berselawat,” katanya.
Takzirah anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) yang disampaikan beliau pada hari ini, Rabu (12 April) telah disiarkan secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini dan boleh diikuti melalui Facebook TV PAS dan HarakahTV.
Ustaz Azhar menambah bahawa kesan daripada tindakan tersebut adalah pergaduhan dan pertelingkahan yang tidak sewajarnya berlaku dan ternyata membuang masa antara kedua-dua pihak.
Justeru, beliau menegaskan, perkara kecil sebegini tidak perlu diperbesarkan dan seharusnya umat Islam harus peka dengan perkara yang besar.
“Apa yang berlaku di umat Islam Palestin khususnya di Baitulmaqdis yang telah diganyang oleh tentera Israel dan ini perkara yang harus diperbesarkan oleh umat Islam dan bukannya dikecilkan!” tegas beliau.
Beliau menyeru kepada seluruh umat Islam Malaysia supaya membuat Qunut Nazillah dan perkara sebegini yang perlu disebarkan dan bukannya perkara kecil seperti ada selawat atau tidak di antara tarawih dan seumpamanya.
“Perkara-perkara kecil sangat tidak wajar dibahaskan dari segi Manhaj perjuangan Islam dan sangat tidak dialu-alukan,” kongsinya.
Sehubungan itu, beliau berpesan pada malam Lailatul Qadar supaya bukan sahaja berdoa kepada Allah untuk diri kita dan keluarga kita sahaja, tetapi juga berdoa untuk satu ummah lebih-lebih lagi umat Islam di Palestin.
“Tidak salah untuk kita berdoa untuk diri kita sendiri dan kalangan kita seperti minta kaya, murah rezeki, panjang usia, sihat tubuh badan, tetapi saya sarankan doakan untuk umat Islam seperti Palestin yang ditindas oleh Israel.
“Malah, kita juga boleh doakan terhadap kezaliman termasuklah dalam kalangan pemimpin yang zalim dalam negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/4/2023




















