
GILIRAN ADUN Bandar memberi keterangan. Perbicaraan petisyen PRU P.036 Parlimen Kuala Terengganu 12 April 2023.
YB Ahmad Shah Muhammed menjadi saksi. Beliau ditanya berkenaan satu hantaran Facebook i-MiTS DUN Bandar berkenaan majlis agihan i-Belia di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan saksi mengesahkan, lalu ia diminta untuk ditanda oleh PP. Saksi ditanya adakah dibolehkan berkempen dalam ucapan di majlis agihan anjuran Kerajaan Negeri, saksi menjelaskan beliau hanya menerangkan pembangunan dan dasar-dasar kerajaan.
Saksi dengan yakin menafikan beliau ada menyebut nama Datuk Haji Amzad beliau tetapi tidak pasti jika ada menyebut PAS di dalam ucapannya. Gambar saksi ditunjukkan sedang membahagikan sampul kepada penerima dan diminta untuk memberitahu apa kandungannya. Saksi menjawab beliau tidak tahu sebab tidak membukanya. Saksi menjelaskan sampul mempunyai cetakan gambar beliau itu, disediakan oleh Pejabat Daerah, saksi tidak mencampuri urusan itu.
Saksi ditunjukkan contoh sampul yang lain yang disediakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) saksi menjelaskan ia adalah sampul yang berbeza. Saksi ditanya apakah yang beliau buat dengan sampul yang kedua, saksi menjawab sebagai pemberian peribadi sewaktu program ziarah. Saksi ditanya bagaimana saksi mahu membezakan sampul yang saksi digunakan untuk memberikan bantuan program kerajaan dengan bantuan peribadi. Saksi mengatakan satu disediakan oleh Pejabat DUN dan satu lagi oleh Pejabat Daerah.
Saksi ditunjukkan gambar yang beliau berlegar di sekitar sebuah pejabat dan saksi mengakui beliau ada dalam gambar itu kerana menyantuni beberapa orang yang berada di situ. Saksi memberitahu yang pejabat beliau di PKM dan mempunyai 15 orang kakitangan. Satu gambar dirujuk menunjukkan seseorang memakai pakaian kuning dan saksi mengesahkan ia adalah baju PKM, tetapi tidak boleh mengecam siapa pemakainya jika gambar tidak jelas.
Saksi dirujuk kepada satu gambar tetapi tidak nampak dengan jelas dan PP membesarkan gambar dan saksi menjawab semua soalan PP menerusi gambar itu iaitu dipercayai ada individu sedang membawa ‘flyer’ yang dipercayai sebagai bahan kempen PN. Saksi berkata beliau tidak pernah berjumpa dengan individu itu sewaktu beliau berada di lokasi.
Saksi ditanya kenapa tarikh agihan itu dibuat lima hari sebelum hari mengundi, saksi menjawab beliau tidak tahu hanya dimaklumkan untuk hadir pada tarikh itu. Saksi berkata dana itu diluluskan pada Bajet 2022. Saksi tidak pasti bila sepatutnya bajet itu digunakan, saksi tidak tahu. Tetapi saksi menjelaskan semua bajet mesti dihabiskan selewat-lewatnya pada pertengahan Disember. Saksi menjelaskan ia sama waktu pada tahun-tahun sebelumnya.
Saksi diasak PP bagaimana saksi memastikan pemberian wang itu tidak akan mendorong penerima dari mengundi PAS, saksi menegaskan pengundi-pengundi sememangnya sudah mempunyai pendirian masing-masing dan saksi yakin penerima tidak akan terpengaruh dengan pemberian sebanyak itu.
Tidak semua penerima hadir pada waktu agihan, kata saksi merujuk kepada satu majlis di Restoran Matahari dan ia adalah anjuran i-MiTS. Tarikh program ialah pada 18 November. Antara inti pati ucapan saksi ialah harapan ibu bapa untuk pelajaran anak-anak muda serta dasar-dasar kerajaan. Saksi sekali lagi tegas menjawab tiada disebut nama Datuk Haji Amzad Hashim dalam ucapan beliau. Sampul duit yang sama digunakan dalam majlis penyerahan itu.
i-MiTS yang menyediakan makanan dalam majlis di restoran itu dan saksi tidak makan bersama. Saksi ditanya lagi kenapa i-MiTS menganjurkan majlis itu pada tarikh 18 itu? Saksi menjawab beliau tidak boleh menjawab bagi pihak i-MiTS kenapa tarikh itu dipilih. Saksi menjelaskan beza i-Siswa bagi anak muda yang belajar di universiti dan i-Belia untuk yang tidak berada di universiti. PP tiada soalan lagi kepada saksi. Manakala PR juga tidak mahu menyoal balas saksi.
Hakim bertanya saksi mengenai gambar-gambar dalam yang dilihat agak berbeza dari segi usia. Saksi menjelaskan yang bukan semua penerima hadir, ada yang mewakilkan kepada orang lain. Hakim berpuashati dengan jawapan saksi. Saksi kemudiannya dilepaskan oleh mahkamah dengan permintaan PP. Tiada lagi saksi lain untuk hari ini.
Perbicaraan akan bersambung semula pada 15 Mei 2023 dengan saksi pempetisyen yang disebut hakim yang akan hadir ialah Exco YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah yang akan dipanggil semula oleh PP, Dr Balachandran Pengerusi DHPP Terengganu dan pempetisyen sendiri iaitu Dato’ Zubir Embong.
Manakala di sebelah responden, responden sendiri akan hadir menjadi saksi diikuti dengan dua orang lagi iaitu seorang pegawai berkaitan kewangan dari Kerajaan Negeri dan seorang pegawai dari TSIS.
MOHD NASIR ABDULLAH
12 April 2023 – HARAKAHDAILY 12/4/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











