Kad kredit jadi masalah kerana riba

Ahamed Kameel
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar berusaha memastikan diri masing-masing bebas daripada menjadi hamba hutang kad kredit yang sebenarnya telah menimbulkan masalah disebabkan riba.

Dekan Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak, Prof. Dato’ Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, kad kredit sebenarnya merupakan sistem yang bagus tetapi ia menjadi masalah, khususnya kepada peminjam kad kredit setelah ia menjadi instrumen hutang berasaskan riba.

- Advertisement -

Dalam laporan sebelum ini ada menyatakan bahawa pelbagai lapisan masyarakat di negara ini telah menjadi ‘hamba kad kredit’, tidak terkecuali dalam kalangan golongan profesional. 

Menurut data Bank Negara Malaysia, baki tertunggak kad kredit untuk bulan ketiga berturut-turut  mencecah RM35.89 bilion pada Julai  2022 dan berpotensi untuk meningkat pada setiap tahun yang akan datang.

Menurut Ahamed Kameel, tidak dinafikan sememangnya ada sesetengah individu yang tidak mempunyai masalah untuk membayar hutang kad kredit tepat pada masanya dan dapat mengelak daripada terpaksa membayar kadar bunga yang tinggi dan riba.

“Namun, kita harus ingat bahawa tidak semua orang mampu melakukan sebegitu rupa dan akan ‘dihukum’ dengan belitan hutang dan riba kad kredit,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, isu riba dan perhambaan kad kredit  jelas telah menyebabkan jurang antara kaya dengan miskin semakin meningkat.

Menyentuh mengenai langkah yang dapat diambil bagi hadapi masalah kad kredit, beliau berpendapat bahawa pendidikan kewangan perlu disalurkan  kepada setiap masyarakat, lebih-lebih lagi golongan muda.

“Masalah golongan muda sekarang yang ada kad kredit pula, mereka hanya pandai guna sahaja dan kemudian (tanpa sedar) masing-masing dibelit hutang.

“Jadi, saya tegaskan bahawa pendidikan kewangan wajib diajar kepada setiap golongan muda supaya bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -