Rundingan damai Saudi, Oman, Houthi di peringkat akhir

Mahdi al-Mashat (tengah) mengadakan pertemuan dengan delegasi Arab Saudi dan Oman di Istana Republik di Sanaa, Yaman pada 9 April 2023. (FOTO: Saba News Agency/Edaran melalui REUTERS)
- Advertisement -

AL-MUKALLA: Susulan perwakilan Arab Saudi dan Oman tiba di Sanaa yang dikuasai Houthi pada hujung minggu lalu untuk membincangkan draf perjanjian damai bagi menamatkan peperangan di Yaman, ia kini sudah berada di peringkat akhir.

Media rasmi Houthi melaporkan pada Ahad (9 Apr) bahawa delegasi Saudi dan Oman mendarat di lapangan terbang Sanaa untuk bertemu Ketua Majlis Politik Tertinggi Houthi, Mahdi Al-Mashat, untuk membincangkan tentang penamatan ‘pengepungan’  dan menamatkan ‘pencerobohan’, serta menggaji pekerja  awam pekerja di  bawah kawalan Houthi dengan hasil minyak dan gas dari tapak yang dikawal kerajaan Yaman, lapor Arab News.

- Advertisement -

Seorang pegawai kerajaan Yaman juga memberitahu Arab News bahawa delegasi akan menyampaikan draf teks perjanjian damai yang diluluskan oleh kerajaan yang diiktiraf antarabangsa kepada Houthi.

Cadangan itu, yang dirangka oleh pegawai kerajaan Saudi, mencadangkan untuk melanjutkan gencatan senjata yang diselenggara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selama enam bulan, perbincangan terus antara Houthi dan kerajaan Yaman di bawah naungan PBB dan tempoh peralihan selama dua tahun.

Dokumen itu juga mencadangkan penghapusan had ke atas lapangan terbang dan pelabuhan yang dikawal Houthi, memberi pampasan kepada pekerja awam di wilayah yang dikawal Houthi, dan membuka jalan di Taiz dan wilayah lain.

Rundingan antara pewakilan Arab Saudi dan Oman dengan Houthi di Sanaa dijangka menghasilkan perkembangan positif perjanjian perdamaian akan dicapai di Yaman. (FOTO: Saba News Agency/Edaran melalui REUTERS)

Pada Minggu lalu, Majlis Pimpinan Presiden Yaman menyokong idea keamanan Saudi tetapi menekankan bahawa sebarang perbincangan dengan Houthi harus menghasilkan perjanjian damai yang komprehensif dan berkekalan, bukannya gencatan senjata jangka pendek, dan meminta jaminan bahawa Houthi tidak akan melanggar perjanjian yang akan dibuat tersebut.

Ketibaan delegasi Saudi dan Oman  itu bertepatan dengan pengumuman Houthi bahawa Arab Saudi telah membebaskan 13 banduan Houthi sebagai balasan kepada tahanan Saudi yang dibebaskan sebelum ini.

Begitu juga, Menteri Luar Yaman Ahmed Awadh bin Mubarak berkata bahawa perjanjian damai Saudi-Iran telah mempercepatkan usaha damai Yaman dan mendorong Houthi untuk ‘serius’ menangani isu-isu rumit mengenai pergolakan di Yaman sebelum ini.

Menteri Yaman itu berkata bahawa Houthi, yang sebelum ini menolak rayuan dan cadangan untuk membebaskan tawanan, mengubah pendirian  mereka selepas menyaksikan perdamaian antara Iran dan  Saudi, lalu memutuskan untuk menukar tahanan dengan Saudi.

Mahdi berjabat tangan dengan duta Arab Saudi di Yaman, Mohammed Al-Jaber di Istana Republik di Sanaa, Yaman pada 9 April 2023. (FOTO: Saba News Agency/Edaran melalui REUTERS)

“Kali ini, buat pertama kalinya, kami menyaksikan pendekatan serius untuk menangani isu ini, yang kami lihat sebagai perkembangan positif,” kata  Mubarak dalam temu bual dengan agensi berita Mesir, Al-Qahera, merujuk kepada perbincangan pertukaran banduan yang berjaya terbaharu.

Menteri Yaman berkata lagi bahawa Houthi juga beralih kepada keamanan selepas gagal merampas kawalan bandar minyak dan gas Marib dan bandar-bandar Yaman yang lain. 

Beliau juga menggesa Iran menghentikan sokongan ketenteraannya kepada Houthi dan sebaliknya mempromosikan keamanan di Yaman.

“Yaman adalah tempat terbaik untuk menunjukkan bahawa Iran meninggalkan matlamat pengembangan serantaunya seperti sebelum ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -