
PARIS: Kejadian runtuhan salji berhampiran Mont Blanc di tenggara Perancis di Pergunungan Alps pada Ahad (9 Apr) telah meragut empat nyawa dan dua yang lain hilang.
Pihak berkuasa tempatan dari jabatan wilayah Haute-Savoie dalam kenyataanya berkata, antara yang maut ialah dua malim gunung yang ditimbus oleh salji yang jatuh ke bawah glasier Armancette di pergunungan tersebut, lapor AFP.
“Penyiasat telah dipanggil untuk membantu mencari dua orang yang masih belum ditemui di Alps.
“Seorang turut mengalami kecederaan ringan dalam runtuhan salji itu manakala lapan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujar kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, saiz aliran runtuhan itu dilaporkan meliputi kawasan seluas 1,000 meter darab 500 meter; yang mana sebelum kejadian, tiada sebarang amaran runtuhan salji telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa cuaca, Meteo France, namun punca bencana itu mungkin akibat gabungan kehangatan dan angin.
“Kami memikirkan (mangsa) serta keluarga mereka,” tulis Presiden Emmanuel Macron di Twitter.
“Perkhidmatan kecemasan kami telah digerakkan untuk mencari mereka yang masih terperangkap dalam salji,” tambahnya.
Anggota kecemasan telah mengerahkan sebuah helikopter serta anjing penyelamat gunung ke tempat kejadian, walaupun pihak berkuasa memberi amaran bahawa runtuhan salji susulan tidak dapat dijangka.
Operasi itu digantung pada waktu petang, tetapi akan disambung semula pada 7:00 pagi (0500 GMT) pada hari ini, Isnin (10 Apr).
“Saya rasa ia adalah runtuhan salji paling maut pada musim ini,” kata Datuk Bandar Contamines-Montjoie, Francois Barbier kepada AFP.
Pada tahun 2014, dua beradik dalam lingkungan 20-an maut dalam runtuhan salji di glasier yang sama, yang mana kedua-duanya merupakan pendaki gunung berpengalaman. – HARAKAHDAILY 10/4/2023




















