Tuntutan royalti Kelantan: Janji yang dikhianati

- Advertisement -

PERDANA Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan adalah individu tertinggi paling bertanggungjawab berkenaan royalti petroleum atas kapasiti jawatan sedang dipegangnya.

Bahkan dari ‘pengalaman’ dalam kerajaan terdahulu, termasuk perjuangan ‘Reformasi’ diterajui serta komitmen pernah dijanjikan, beliau memang menyedari perlunya perubahan atau pembetulan dilakukan.

Kelantan khususnya, hak royalti itu telah bergema diperdebatkan di sebalik penafian yang sengaja ditimpakan, termasuk juga hak-hak lain di mana ia amat disedari berlaku lantaran dikekang kuasa politik.

Sayang sekali, kerajaan diterajui Anwar setakat ini turut berpegang kepada skrip alasan sama untuk memanjangkan sekatan, sekali gus tergamak untuk memungkiri ikrar pernah dilafazkan beliau suatu masa dahulu.

Perjuangan tuntutan

Tuntutan hasil petroleum hakikatnya telah menjadi perjuangan bukan hanya Kelantan, tetapi empat negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Terengganu kerana wujud pelbagai mainan politik Kerajaan Persekutuan.

Bahkan tuntutan yang wujud tidak lagi terhad kepada royalti, tetapi telah semakin meluas, misalnya Sarawak di mana menuntut Cukai Jualan Negeri (SST) produk petroleum dan kawal selia sumber minyak.

Walaupun PETRONAS cuba merayu, namun saman di Mahkamah Tinggi Kuching akhirnya memutuskan berpihak kepada Sarawak di mana setelah itu menerima bayaran RM2.96 bilion bagi tahun 2019.

Malah, perjanjian ditandatangani Sarawak dan PETRONAS itu turut membabitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk negeri terbabit sama dalam operasi PETRONAS melalui anak syarikatnya iaitu Petroleum Sarawak Bhd (PETROS).

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai PERIKATAN NASIONAL (PN) PETRONAS komited memenuhi hak Sarawak itu apabila menandatangani Perjanjian Penyelesaian Komersial.

Setelah itu Kerajaan Sabah pula menyusul langkah sama apabila Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset serta Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC).

Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Hajiji Noor berkata, negeri itu dijangka mengutip RM2.45 bilion setahun secara berterusan menerusi bayaran royalti dan SST daripada sektor tersebut.

Helah politik

Sekiranya telus dan jujur, Pusat hanya perlu menunaikan perjanjian antara pihak negeri dengan PETRONAS menurut seperti termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) tanpa perlu belok-belok ke sana sini.

PETRONAS membayar terus kepada Sarawak dan Sabah, tetapi kepada Terengganu dan Kelantan ia disalurkan melalui Kementerian Kewangan, itu belum istilahnya berubah-ubah ‘royalti’, ‘wang ihsan’ dan ‘bayaran khas’.

Penafian ke atas hak negeri itu bukan sahaja berlaku dalam bentuk menunaikan bayaran mengikut perjanjian, tetapi juga ke atas kerja-kerja berkaitan pemprosesan hasil petroleum dan gas.

Misalnya hasil dari pelantar cari gali di Kelantan disalurkan melalui Songkhla, Thailand sebelum diproses di Gurun, Kedah melibatkan jarak 350 kilometer. Begitu juga hasil Sabah yang diproses di Bintulu, Sarawak.

Sehingga kini, Kelantan difahamkan menerima bayaran tidak sampai pun 0.2 peratus dari jumlah keseluruhan sepatutnya, berbanding tiga negeri lagi yang masing-masing telah dibayar tidak kurang RM15 bilion.

Itupun tidak semua dibayar terus kepada akaun Kerajaan Negeri Kelantan, kecuali semasa zaman Perdana Menteri Ke-7 dan Ke-8, sebaliknya menerusi pelbagai agensi dan institusi lain.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya memastikan Kerajaan Pusat komited menunaikan janji berkaitan isu ini, bukan beliau yang juga Presiden Umno membuat janji isu air Kelantan.

Motif sekatan

Sekatan yang dikenakan hakikatnya kerana bimbang dan dengki dengan potensi kemajuan boleh dicapai negeri-negeri tersebut kerana dilihat tidak memihak politiknya kepada pemerintah Persekutuan.

Buktinya dalam memoir tulisan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaku menyekat pembayaran royalti berkenaan kerana Kerajaan Terengganu dikuasai oleh PAS pasca PRU 1999.

“Pada waktu itu dan sehingga sekarang, Terengganu adalah pengeluar terbesar minyak di Malaysia dan kerajaan negeri memperoleh lima peratus daripada hasilnya yang berjumlah hampir RM1 bilion setahun.”

“Kita tahu kalau kerajaan baru PAS mendapat wang itu sudah pasti mereka akan menggunakannya untuk mempertingkatkan populariti dan memperluaskan perjuangan mereka. Oleh itu, satu cara perlu dicari bagi menyekat mereka daripada memperoleh dana tersebut.”

Bayangkan kalau Sabah berkeyakinan memperoleh RM2.45 bilion setahun, Terengganu yang memberikan hasil terbesar petroleum dan gas negara tentunya boleh memiliki angka lebih tinggi daripada itu.

Tetapi seperti mana negeri jiran itu, Kelantan lebih teruk dinafikan hak hasil petroleumnya dan bayangkan kemajuan negeri dapat diadakan sekiranya negeri Tok Guru ini menerima pembayaran sebenar.

‘Kluk-klek’ Pusat

Sebelum wujudnya PDA 1974, segala usaha berkaitan keluaran petroleum negara berada di bawah syarikat asing, tetapi setelah itu ia membolehkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) ditubuhkan.

Dengan bidang kuasa dan pengurusan serta hak eksklusif kepada perbadanan ini untuk mengawal semua aktiviti eksplorasi dan eksploitasi petroleum dan gas di Malaysia, ia telah memberi jumlah besar kepada kewangan negara. 

Malaysia begitu ketara bergantung kepada industri minyak dan gas yang merupakan tonggak utama kepada sumber pendapatan terbesar apabila menyumbang kepada 40 peratus ke kantung negara.

Namun, sejak sekian lama, penunaian janji 5 peratus itu menjadi isu yang tidak pernah selesai dengan disaksikan perbincangannya turut menghangatkan Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Tetapi menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Seri Azalina Othman Said, Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar nampaknya memberikan alasan yang sama seperti rejim sebelumnya.

Hujahnya, Kelantan dan Terengganu tidak layak dan tidak boleh menuntut hak mendapat 5 peratus hasil berkenaan kerana berada di luar 3 batu nautika ditetapkan dalam Akta Laut Wilayah 2012.

Alasan dan retorik serupa turut dinyatakan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Ahmad Maslan di Dewan Negara mewakili pendirian sikap kerajaan hari ini yang konon berlabel ‘madani’.

Katanya, dasar dan skop penggunaan Wang Ihsan kepada Kerajaan Kelantan dan Terengganu akan dirangka semula bertujuan supaya penggunaan dana tersebut dapat mengurangkan tahap kemiskinan di dua negeri itu. 

“Walau bagaimanapun, hasil petroleum akan dibayar terus kepada negeri sekiranya didapati dan diperoleh minyak dalam perairan wilayah tiga batu nautika yang diukur daripada garis air surut selaras dengan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).”

Lafaz mereka dulu-dulu

Presiden R Kelantan, Mohd Nazri Deraman memberitahu, dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika. 

“Pelantar minyak Negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan.”

Nazri juga pernah memetik kenyataan tahun 2009 oleh Pensyarah Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohamad Agus Yusoff yang kini Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Agus, Kelantan mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang dijumpai di wilayah perairannya kerana perjanjian UNCLOS 3 (Perundangan Laut di bawah PBB) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia. 

Ia menetapkan negeri mempunyai hak ke atas Zon Ekonomi Eksklusif yang menjangkau jarak sehingga 200 batu nautika, sekali gus peruntukan UNCLOS ini secara langsung menolak hujah 3 batu nautika itu.

“Jika Kerajaan Pusat menggunakan Ordinan Kuasa Darurat 1969 yang menyatakan kawasan perairan negeri adalah sejauh 3 batu nautika sahaja dari perairan pantai, hujah ini adalah mengelirukan kerana Ordinan Kuasa Darurat yang digubal pada tahun 1969 itu adalah khusus (isu keselamatan) kerana ketika itu Akta Kemajuan Petroleum 1974 masih tidak wujud.”

“Akta tersebut yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974 telah membawa kepada tertubuhnya PETRONAS dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperolehi di daratan atau luar pantai Malaysia kepada PETRONAS. Tidak dinyatakan sama sekali sama ada di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 tentang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasarkan kepada jarak dari pantai.”

Bahkan, Anwar sendiri pernah memberi komitmen semasa zaman Menteri Besar, Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika beliau selaku Ketua Umum PKR dahulu menerusi Gabungan Profesional Menuntut Royalti (R).

Beliau berjanji akan mengembalikan hak Kelantan itu sekiranya menjadi Perdana Menteri, malah selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji memberi bayaran sehingga 20 peratus kepada negeri.

Kini semua mereka berada di satu kedudukan dan bersama, namun Kelantan masih juga tidak ditunaikan haknya.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 3/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -