
KUALA LUMPUR: Tindakan yang dilakukan oleh Dato’ Dr Mohamad Agus Yusoff selaku Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) adalah bersifat dangkal dan tidak memperlihatkan keterbukaan beliau menerima perbezaan pandangan
Hal ini telah ditegaskan Penganalisis Politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub yang berkata demikian susulan Mohamad Agus yang baru-baru ini telah memuat naik dalam ruangan Facebook dan Twitter miliknya hari ini yang berjudul, ‘Berhentilah ‘mengigau’ nak jatuhkan kerajaan’.
Hantaran Mohamad Agus dalam kedua-dua media sosial itu telah tujukan perkara ini kepada Presiden PAS, Tuan Guru Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menganggap titah Yang di-Pertuan Agong agar kestabilan politik dikembalikan serta tiada lagi pelantikan perdana menteri baharu di luar pilihan raya sebagai tidak muktamad.
Mohammad Tawfik berkata, beliau memahami posisi tugas sebagai seorang Ketua Pengarah J-KOM, yang mana memerlukan seseorang itu untuk memasarkan setiap inci dasar dan agenda yang diketengahkan oleh kerajaan untuk membantu kehidupan rakyat yang terkesan dengan situasi ekonomi negara yang tidak menentu.
“Namun begitu, apa yang telah dikatakan oleh Ketua Pengarah J-KOM itu sedikit mengelirukan berkenaan dengan sistem demokrasi pertukaran kerajaan adalah melalui pilihan raya,” katanya kepada HarakahDaily.
Beliau telah menilai kenyataan tersebut tidak tepat kerana selain merujuk kepada praktik demokrasi, negara Malaysia ini mempunyai sistem Perlembagaan Persekutuan yang menjadi landasan dan rujukan utama kepada semua pihak termasuk ahli-ahli politik untuk membatasi tindakan yang dilakukan.
“Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara dan tidak boleh diketepikan oleh mana-mana pihak untuk merasionalkan tindakan atas alasan demokrasi.
“Di bawah, Perkara 40 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri dan dibaca bersama Perkara 43(2)(a) iaitu Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu,” ujarnya.
Oleh demikian, ujarnya, adalah jelas dalam peruntukan ini iaitu tidak menyatakan pelantikan Perdana Menteri secara mandatori dilakukan hanya sekali sahaja iaitu selepas pengumuman keputusan pilihan raya dan ini juga bermakna bahawa pelantikan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja.
Tambah Mohammad Taufik, beliau juga turut bersetuju bahawa negara memerlukan kestabilan politik menerusi tindakan yang matang dengan menamatkan politiking yang berpanjangan.
Namun begitu, katanya lagi, teguran yang dilakukan oleh Ketua Pengarah J-KOM itu menerusi nasihat kepada Presiden PAS dan penyokongnya untuk cukup-cukuplah berpolitik dan menjadi oposisi yang konstruktif umpama cakap tidak serupa bikin.
Sebagai contohnya ketika sesi sidang Parlimen yang sedang berlangsung pada masa ini, masih terdapat ahli-ahli Parlimen di blok parti pemerintah yang masih tidak dapat mengawal sikap mereka dengan mengeluarkan pelbagai perkataan tidak sopan, tersasar dari perbahasan dan terpekik-pekik ketika berbahas.
Justeru, beliau turut mempersoalkan adakah ini contoh kematangan dalam demokrasi dan tidak dianggap berpolitik?
“Ketua Pengarah J-KOM perlu lebih berhati-hati dalam membuat ulasan, teguran dan nasihat kepada mana-mana pemimpin atau parti politik agar tidak kelihatan ketaksuban melampau.
“Ini kerana rakyat telah bosan dengan praktik politik lama yang bukan sahaja menjadi budaya dalam kalangan segelintir orang politik tetapi juga oleh hulubalang-hulubalang yang ada di sekeliling mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2023




















