Politik desperado DAP cuba heret rakyat Pulau Pinang

- Advertisement -

DUN Pulau Pinang hari ini menerima Usul Tanpa Pemberitahu daripada YB ADUN Air Putih, Lim Guan Eng yang mahu membentangkan satu kelulusan gesaan dan tuntutan sebagai reaksi balas terhadap ucapan kononnya ‘kontroversi’ oleh YAB Menteri Besar Kedah.

Kelihatan sejak seminggu lalu Guan Eng berdegar-degar menyuarakan kesungguhannya untuk mempertahankan ‘kedaulatan Negeri Pulau Pinang’, hanya saja tidak menghunus keris atau pedang. Tidak cukup di Sidang Dewan Rakyat, hari ini dibawa pula ke Sidang DUN.

Ia diterjemahkan lagi secara emosi dan tertulis dalam cadangan usul itu dengan mereka menyebut, ‘ucapan provokasi yang bersifat menghasut dan ekstremis’ merujuk oleh Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi.

Usul itu selanjutnya berbunyi, ‘Berikrar bersedia menggunakan segala tenaga dan usaha termasuk mengerahkan dan menggerakkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang untuk membela dan mempertahankan…‘ 

Sekali baca membulat besar terbeliak mata melihat agar tidak silap membaca, tetapi kemudian tidak dapat menahan tertawa dengan usul sebegini. 

Apa sebenarnya yang ADUN Air Putih ini mahu bawa? Sentimen 1.8 juta rakyat yang sekali baca seakan-akan diajak pergi berperang? 

Sifir politik sama

Teringat pula sewaktu Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush menggerakkan emosi dan sokongan rakyat dalam cubaan kononnya memerangi senjata pemusnah Iraq dahulu. 

AS mendakwa niatnya adalah untuk ‘melucutkan senjata Iraq daripada senjata pemusnah besar-besaran, untuk menamatkan sokongan Saddam Hussein terhadap keganasan, dan untuk membebaskan rakyat Iraq‘. Mulus dan murni kedengaran niatnya.

Akhirnya ramai penganalisis bersetuju bahawa terdapat hanya dua sebab yang boleh dipercayai untuk menyerang Iraq iaitu kawalan ke atas minyak dan pemeliharaan Dolar sebagai mata wang rizab dunia. Itu sahaja. 

Namun rakyat AS ditipu hidup-hidup oleh pemimpinnya demi menjaga tembolok ekonomi para kapitalis yang jahat dan sentiasa lapar kekayaan itu.

Konflik AS-Iran 2020

Satu lagi contoh mudah adalah serangan yang dibuat Amerika Syarikat terhadap lapangan terbang Baghdad yang dilihat sebagai usaha Donald Trump untuk mengalihkan perhatian dunia terhadap isu pendakwaan yang dikenakan terhadap beliau. 

Berikutan tindakan berkenaan, Trump mengharapkan seluruh rakyat Amerika akan berada di belakang kepimpinannya pada waktu itu. 

Pada 3 Januari 2020, Qasem Soleimani, seorang Jeneral tentera paling utama dalam pasukan keselamatan Iran, telah menjadi sasaran dan dibunuh oleh dron serangan AS berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad di Iraq. Ketika itu beliau dalam perjalanan untuk bertemu Perdana Menteri Iraq Adil Abdul-Mahdi.

Ini semua hanyalah permainan bodoh Trump untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu besar dalam negara mereka sendiri.

Perang Rusia-Ukraine 2022-2023

Begitu juga dapat dilihat dalam peperangan antara gergasi dunia, Rusia dengan negara jirannya yang dilihat pro-AS iaitu Ukraine. Terlalu banyak perkara tersembunyi yang kini semakin didedahkan oleh para penganalisis berkait dengan motif sebenar serangan Rusia.

Kremlin dikatakan telah lama menyebar maklumat palsu dan propaganda demi mencapai objektifnya. Ia terus menularkan pembohongan untuk mewajarkan pencerobohan yang tidak diprovokasi dan tidak wajar ke atas Ukraine yang kini telah diketahui masyarakat dunia.

Zionis Israel sudah lama guna

Dalam sejarah politik pemimpin negara haram Israel, setiap kali tiba musim dan penggal pilihan raya, sudah pasti akan dibuat serangan ke atas umat Islam Palestin khasnya di Gaza. Mereka mahu rakyat Israel kekal ‘takut dan gerun’ kepada kumpulan Jihad Islam dan HAMAS agar kekal menyokong kerajaan sedia ada.

Ogos tahun lepas sebagai contoh, serangan Israel ke atas Gaza adalah satu pelan beberapa minggu yang dilihat sebagai tindakan yang disengajakan demi mendapatkan legitimasi rakyatnya ketika Israel bersiap sedia untuk pilihan raya baru pada bulan November. 

Israel telah melancarkan peluru berpandu di seluruh kawasan Palestin yang terkepung, membunuh 10 orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, seorang wanita berusia 23 tahun, serta Taysir al-Jabari, seorang komander sayap tentera Jihad Islam.

Perdana Menteri sementara Israel waktu itu berjudi dengan serangan awalnya terhadap militan Jihad Islam di Gaza, kurang tiga bulan sebelum beliau bertanding dalam pilihan raya umum untuk mengekalkan jawatannya. PM Yair Lapid telah mendapat landasan politik menjelang pilihan raya dengan serangan ini.

Ketakutan DAP kepada Gelombang Hijau

Pakatan Harapan (PH) pada awal Januari lalu mengatakan mereka tidak boleh mengabaikan Gelombang Hijau yang dicetuskan oleh PERIKATAN NASIONAL (PN). Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy berkata, Gelombang Hijau tidak boleh dianggap sebagai fenomena biasa.

Situasi sokongan rakyat kepada PN, menurut beliau, mungkin akan mendatangkan kesukaran untuk PH mengekalkan kuasa dalam tempoh lima tahun akan datang. 

“Persoalannya, bagaimanakah PH boleh terus berkuasa tanpa mendapat sokongan orang Melayu. Lebih-lebih lagi, bagaimana PH boleh mengatur langkah untuk memenangi PRU16 akan datang dalam masa lima tahun,” kata Ramasamy.

Lalu, serangan Guan Eng bermula minggu lepas sehingga diheret ke sidang DUN hari ini, berkait isu ‘kedaulatan negeri’ dan ‘jawapan balas YAB Menteri Besar Kedah’ sebenarnya berasaskan ketakutan DAP akan hilang kuasa di Pulau Pinang.

Sudah habis cara mahu yakinkan pengundi supaya kekalkan DAP di Pinang? Takut sangat pada Gelombang Hijau hingga mahu heret ‘1.8 juta rakyat’ ke kancah desperado politik DAP?

Hakikatnya, taktik DAP menyemarakkan perang sebegitu adalah strategi yang sama Amerika dan Israel pernah gunakan ke atas sentimen rakyat.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -