
KUALA LUMPUR: Anak muda di Kedah, iaitu seramai 300,038 orang mencatatkan penyertaan tertinggi dalam program Malaysia Techlympics 2022.
Negeri di Pantai Timur pula mencatatkan penyertaan hampir 28,000 pelajar dari sekolah rendah, sekolah menengah serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berumur antara 7 hingga 30 tahun.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, bagi mengatasi jurang tersebut, pihaknya akan meningkatkan lagi promosi penyertaan pelajar di seluruh negeri.
“Usaha itu termasuk mempromosi melalui mesyuarat menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bertanggungjawab mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
“Hal ini supaya penyelarasan dapat dibuat di peringkat kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan negeri dan pemegang taruh yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu Amzad menjelaskan data peserta bagi Malaysia Techlympics sehingga 31 Oktober tahun lalu mempunyai perbezaan ketara dari segi penyertaan jika dipecahkan mengikut negeri.
“Ada negeri mampu menghantar penyertaan sehingga ratusan ribu, manakala sesetengah negeri sangat kurang penyertaan.
“Bagaimana usaha kementerian untuk seimbangkan penyertaan daripada seluruh negara ini?” katanya.
Amzad turut meminta penjelasan sama ada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan membuat penambahan kepada lima tema sedia ada. – HARAKAHDAILY 7/3/2023











