
ALOR SETAR: Kerajaan persekutuan digesa agar projek rintis pemberian ubatan PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) diprogramkan semula supaya ia tidak memberi implikasi lebih parah kepada penularan budaya songsang golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, walaupun projek rintis ubatan PrEP ini untuk mengurangkan penularan HIV di dalam negara tetapi apa yang menjadi kebimbangan golongan tertentu khususnya pengamal homoseksual akan mengambil kesempatan.
“Golongan LGBT secara langsung termasuk dalam senarai yang akan menerima ubatan PrEP malah, terdapat sebahagian aplikasi pengamal homoseksual gay telah menggunakan status ‘On-Prep’ bagi membolehkan aktiviti songsang kononnya diteruskan dengan selamat,” ulas beliau melalui suatu hantaran kenyataan ke HarakahDaily, di sini.
Menurut beliau, golongan yang mengamalkan hubungan sejenis atau homoseksual turut dikategorikan sebagai golongan yang mempraktikkan hubungan kelamin luar tabie tanpa perlindungan; dan mereka antara yang akan mendapat bekalan ubatan PrEP in

Justeru Ahmad mempersoalkan, adakah seks songsang akan dibenarkan untuk diamalkan di negara ini asalkan penularan jangkitan HIV kekal terkawal, sebagaimana saranan World Health Organisation (WHO) yang akhirnya tunduk kepada nafsu songsang golongan tersebut.
MSM penyumbang utama HIV negara
“Perkara tersebut merangkumi garis kesihatan dan agama. Tidak wajar ada dikotomi di antara kedua-duanya kerana dalam prinsip maqasid syariah (tujuan syariat), memelihara nyawa dan akal juga keutamaan dalam agama. Ia seiring dengan pendekatan sektor perubatan,” hujah beliau lagi.
Sementara berdasarkan statistik Malaysia Strategic Plan for Ending AIDS, golongan Men Sex with Men (MSM) atau golongan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan lelaki (homoseksual);atau lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan kedua-dua jantina lelaki dan wanita (biseksual); yang menurut istilahnya adalah melakukan hubungan seksual dengan banyak pasangan seksual – merupakan penyumbang utama jangkitan HIV di Malaysia pada ketika ini.
Menurut laporan statistik kebangsaan itu lagi, berdasarkan Tinjauan Pengawasan Biologi & Tingkah Laku Bersepadu (IBBS) yang lalu, dianggarkan bahawa populasi MSM di Malaysia adalah kira-kira 170,000 (atau sebanyak 2 peratus daripada populasi dewasa lelaki).
Justeru, dalam sistem pengawasan HIV Kebangsaan, MSM dikelompokkan sebagai golongan homoseksual/biseksual.

Jangkitan baharu yang dilaporkan dalam kalangan MSM menunjukkan corak yang semakin meningkat dengan peningkatan yang ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Menjelang akhir Dis 2014, seramai 4,799 MSM terkumpul telah dilaporkan; dan peningkatan trend HIV jangkitan yang dilaporkan oleh Pengawasan Kebangsaan dalam kalangan MSM disokong oleh penemuan dua Tinjauan IBBS (pada 2012 dan 2014) yang memantau peningkatan prevalens HIV daripada 7.1 peratus kepada 8.9 peratus.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan peningkatan trend penggunaan alkohol dan narkotik sebelum hubungan seks dalam kalangan MSM.
Mengulas mengenai senario itu, Ahmad menegaskan bahawa masalah penularan HIV di negara ini seharusnya juga perlu diatasi dari akar umbi – merujuk kepada amalan seks songsang yang diamalkan golongan MSM di negara ini.
“Adalah amat tidak wajar melihat permasalahan penularan jangkitan HIV ini semata-mata tetapi sebaliknya meminggirkan pencegahan yang efektif terhadap amalan songsang yang dilakukan golongan MSM,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023




















