
KUALA LUMPUR: Bidang kuasa penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hanya terhad di laut sedangkan aktiviti penjualan bubu naga berlaku di daratan.
Ini menyebabkan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta kerajaan menjelaskan langkah untuk memastikan supaya bubu naga tidak dijual secara berleluasa di daratan.
“Sejauh mana penguatkuasaan terhadap larangan bubu naga kerana ia masih lagi berleluasa digunakan oleh nelayan-nelayan.
“Apabila ditangkap diambil tindakan oleh Maritim Malaysia dan juga pihak (Polis) Marin, tetapi Maritim (Malaysia) hanya berkuasa di laut kalau digunakan, tetapi bubu naga di jual di daratan.
“Jadi apakah langkah-langkah kerajaan untuk memastikan supaya bubu naga tidak dijual dan diambil tindakan oleh pihak tertentu,” soalnya semasa mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Foong Hin, tindakan yang kerajaan lakukan ialah meningkatkan kesedaran kepada nelayan ialah menerusi pendekatan secara lembut.
“Kalau ditangkap, cuma bubu naga dirampas dengan kompaun RM500,” katanya yang menyatakan jika bubu naga dimasukkan sebagai peralatan larangan kadar hukuman adalah lebih berat.
Sehubungan itu, katanya kementerian mengambil masa melakukan libat uruskan dengan pelbagai pihak supaya nelayan dapat memahami kepentingan menjaga ekosistem perikanan.
Sebelum itu, Mohd Misbahul bertanyakan mengenai status penggunaan pukat bubu naga, iaitu sama ada dibenarkan digunakan oleh nelayan.
Menjawab soalan tersebut, Fong Hin berkata kementerian dalam perancangan untuk memasukkan bubu naga sebagai peralatan larangan dalam Peraturan Perikanan Larangan Cara Menangkap Ikan 1980. – HARAKAHDAILY 6/3/2023











