
BANDAR MELAKA: Seramai 81 graduan telah menerima ijazah dari Persatuan Pengajian dan Kuliah Asas Membaca Al Quran Negeri Melaka (PERKAMA) dalam Majlis Konvokesyennya ke-10.
Daripada 81 penerima, 59 orang adalah penerima Ijazah Watikah Al Quran (IWA), manakala 12 lagi adalah penerima Anugerah Watikah Penghargaan Kelas Talaqqi Juz-1 hingga 30.
Majlis perasmian dan penganugerahan ijazah ini yang berlangsung di Auditorium Masjid Al Azim, di sini, pada Ahad telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.
Bakri dalam ucapannya menzahirkan rasa kagum dengan pencapaian PERKAMA yang diasaskan oleh Ustaz Johari Hussain yang dikenalinya ketika tokoh itu baru bersara daripada Tentera Laut Diraja Malaysia.
“Saya dan Ustaz Johari bukan lagi orang asing. Saya kenal beliau sejak 20 tahun yang lalu. Waktu itu, beliau baru bersara daripada Angkatan Tentera Laut. Saya pula ketika itu membangunkan Balai Islam Bukit Rambai.
“Dari di situlah, kalau tidak salah saya, asas pertama beliau membuat kelas pengajian al-Quran. Saya terkejut bagaimana seorang anggota tentera boleh menguasai ilmu al-Quran.
“Selepas itu, saya ke Indonesia selama 15 tahun. Lebih terkejut lagi, bila saya jadi Ahli Parlimen Tangga Batu saya diundang untuk Majlis Konvokesyen badan bukan kerajaan (NGO) ini (PERKAMA) untuk kali ke-10,” katanya.

Bakri yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka menambah, sebagai sahabat, beliau sentiasa mengikuti perkembangan Ustaz Johari dan PERKAMA dari jauh.
“Ketika isteri saya menjadi Guru Besar di Sekolah Rendah Taman Bukit Rambai, tak silap saya, beliau pernah menggunakan fasiliti di sekolah itu untuk beliau menjalankan kelas pengajian al-Quran.
“Alhamdulillah, sebagai umat Islam dan sebagai wakil rakyat khususnya Tangga Batu, saya berasa bangga bila melihat perkembangan ini macam kita tanam anak benih makin lama makin tumbuh.

“Makin membesar yang menjadi pohon yang rendang yang mengeluarkan buah yang dapat dinikmati bukan sahaja oleh manusia tetapi oleh haiwan dan sebagainya,” katanya lagi.
Pemahsyuran majlis telah disempurnakan oleh Ustaz Johari sendiri manakala Imam Besar Masjid Negeri Melaka, Datuk Muhammad Hashim Al Hafiz pula menyampaikan tazkirah.
Dalam majlis ini juga, seorang graduan, Kholida Ahmad telah dianugerahkan sebagai pelajar terbaik.
PERKAMA ditubuhkan pada 28 Februari 2008 sebagai sebuah NGO dan dirasmikan penubuhannya oleh Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Melaka. – HARAKAHDAILY 6/3/2023




















