Ejek Wakil Rakyat jangan sampai perlekeh agama

Izzah diminta nasihat para penyokong PH jangan memperolokkan amalan doa

- Advertisement -

PENTADBIRAN Perdana Menteri Ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan berusia 100 hari dalam hanya 5 hari sahaja lagi. Namun sehingga begitu mendekati garis itu, belum terlaksana segala janji dan reformasi yang pernah diikrarkan.

Janji-janji beliau cukup tersohor hingga membuak harapan ramai menanti detik direalisasikan setelah beliau mengangkat sumpah jawatan. Malangnya semua itu dimungkiri bersama formula-formula karut Si Rafizi Ramli.

Begitu juga laungan keramat ‘Reformasi’ menentang kronisme dan nepotisme, akhirnya menjadi halal kepada kawan dan keluarga sendiri. ‘Lawan Tetap Lawan’ terhadap penyamun dan perompak, kini semuanya menjadi kawan.

Malah, Belanjawan 2023 yang ditunggu-tunggu untuk menggegar sejarah, hanya sekadar indah khabar dari rupa. Sebaliknya, pembentangan bekas ‘Menteri Kewangan Terbaik Asia’ itu dilihat bagaikan ‘copy paste’ yang ‘dulu-dulu’.

Enak terdengar cuma kalimah ‘Madani’, ‘Rahmah’ dan perkataan-perkataan Indonesia yang dilantunkan Anwar dalam ucapannya. Beliau juga terlihat ghairah untuk ‘berceramah’, tetapi seperti berada dalam khayalan ‘syok sendiri’.

Para Menteri di bawah pimpinannya seperti tidak tahu membuat kerja sehingga mendapat markah gagal dalam kajian prestasi. Bahkan turut gagal dalam mengejar populariti walaupun sering muncul dengan pelbagai lawak komedi.

Di sebalik julangan wibawa, reputasi dan puji, namun Anwar nampaknya ‘panas dan koyak’ membuat tuntutan saman di sana sini. Politik yang beliau gemblengkan lebih kepada pragmatik, retorik dan hipokrit serta membalas dendam.

Kini watak dan tabiat politik Anwar itu ‘terbawa-bawa’ oleh anaknya Si Puteri Reformasi, Nurul Izzah yang seperti belum kebah demam kekalahan. Mewarisi P.044 Permatang Pauh hampir 4 dekad, Izzah mungkin merasa cukup selesa.

Sedangkan penduduk setempat telah lama kecewa jauh hati dengan Wakil Rakyat yang juga jauh di mata tanpa khidmat hakiki. Pengundi yang melorongkan Izzah jalan keluar, tetapi kini beliau hadir memancungkan hidung, menyorongkan pipi.

Dipersilakan Izzah hadir di ceruk manapun bumi Malaysia ini, apatah lagi di Permatang Pauh pernah diwakili beliau dan papa mamanya. Kerana kini beliau dilihat mungkin membawa agenda-agenda Perdana Menteri.

Namun, ada penyokong Pakatan Harapan seperti haus, tandus dan kebuluran isu apabila pada usaha Izzah membantu penduduk, galak juga mereka memburukkan orang lain. Sasaran mereka adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Semua kejelikan itu hanya menimpakan buruk ke atas Izzah seolah-olah dia masih belum dapat menerima hakikat kekalahan. Setelah tewas pula kepada ‘Si Lebai’ Fawwaz yang mungkin mereka pandang rendah selama ini.

Ditambah Fawwaz berjaya membuktikan kesantunan dan perkhidmatannya kepada warga Permatang Pauh sejak terpilih tanggal 19 November lalu. Selain kemampuan suaranya berbahas menggegar Persidangan Dewan Rakyat.

Tetapi perlekehan mereka melampaui batang tubuh Fawwaz di mana hingga mengheret kepada ikhtiar dan tawakal beliau kepada Allah S.W.T. Doanya memohon kepada Yang Maha Berkuasa, bukannya yang ada kuasa tetapi bakhil!

Itupun diejek dan diperolok-olokkan mereka hanya kerana cuba menyemai sebar kebencian kepada dirinya. Ini sudah keterlaluan kerana perbuatan memperlekeh amalan doa sebenarnya menghina agama yang suci ini.

Oleh itu mereka yang berkenaan mesti segera meminta maaf atas perbuatan menyinggung merendahkan Islam itu. Atau bersedia laporan kepada pihak berkuasa kerana cuba mencetuskan ketidaktenteraman awam atas sikap berbaur perkauman dan agama melampau tersebut.

IBRAHIM ANI
Pemerhati Politik Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 27/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -