
JAKARTA: Sebuah kapal selam India buat pertama kalinya berlabuh di Indonesia, yang merupakan antara negara yang terlibat dalam pertikaian maritim dengan China di Laut China Selatan.
Ia dikatakan sebagai sebahagian daripada jangkauan keseluruhan diplomatik-tentera yang berterusan India ke negara-negara Asean, di tengah-tengah konflik Laut China Selatan berkenaan.
Kapal selam diesel-elektrik seberat 3,000 tan dikenali dengan nama INS Sindhukesari itu tiba di Jakarta untuk ‘pulih operasi sulung’ selepas transit melalui Selat Sunda pada hari Rabu, lapor Times of India (TOI).
“Kapal perang India sering melawat Indonesia dan negara-negara Asean lain. Penempatan kapal selam jarak jauh buat kali pertama ini di Indonesia menggariskan keupayaan operasi dan jangkauan lengan tempur bawah air negara itu jua,” kata seorang pegawai kanan tentera india kepada TOI.
Sementara Satlokexpress melaporkan bahawa Tentera Laut Indonesia menulis tweetnya: “Untuk mengeratkan hubungan antara India dan Indonesia, Tentera Laut Indonesia mengalu-alukan Kapal Selam India, INS Sindhukesari ke Jakarta.”
Menurut laporan itu lagi, ini adalah kali pertama kapal selam India dikerahkan pada jarak sedemikian – yang memberi gambaran mudah tentang keupayaan Tentera Laut India untuk menghadapi peperangan bawah laut.
Laporan itu juga menyebut, pengerahan kapal selam India di Indonesia adalah penting kerana China sebelum ini mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan sebagai miliknya – yang mana China juga didakwa tidak sehaluan pendapat dengan negara ASEAN lain Indonesia, Filipina, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei berhubung perkara itu.
“Inilah sebab mengapa terdapat ketegangan di Laut China Selatan dan China telah membina secara unilateral beberapa pulau buatan di sini dan mengerahkan tentera lautnya di pulau-pulau ini,” ujar laporan itu.
Penempatan kapal selam India di luar pantai Indonesia itu berlaku selepas negara itu dan itu Filipina telah menamatkan latihan peluru berpandu jelajah supersonik anti-kapal BrahMos pada minggu lalu.
Tambah Satlokexpress, India juga telah menjual peluru berpandu BrahMos ke Filipina – yang mana pada masa lalu, India juga mengadakan latihan dengan Tentera Laut Singapura dengan nama Agni Warrior.
“Seiring dengan ini, tentera India juga sebelum ini telah menjalankan latihan dengan Malaysia dan Indonesia.
“Tentera laut India dan Indonesia juga bersama-sama mengawal Sempadan Maritim Antarabangsa. Pada tahun lepas, India dan Indonesia bergabung untuk berkawal sebanyak dua kali,” kata laporan itu. – HARAKAHDAILY 24/2/2023




















