
KUALA LUMPUR: Prihatin terhadap mangsa-mangsa bencana banjir di negeri Johor yang berlaku baru-baru ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menggerakkan satu pasukan konvoi menyampaikan bantuan kepada negeri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, konvoi program MAIWP-Insani Misi Bantuan Banjir Negeri Johor telah dilancarkan pada hari ini, 10 Feb dan akan dilaksanakan sehingga 12 Feb 2023.
MAIWP bersama-sama rakan strategiknya iaitu Yayasan Ezy Prihatin turun ke lapangan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa daerah dalam negeri Johor seperti Batu Pahat, Keluang dan beberapa lagi lokasi yang terjejas akibat musibah banjir.

Tambah beliau, pada hari semalam (9 Feb), Skuad Musa’adah Agensi Islam yang diterajui oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) telah turun ke daerah Segamat, Johor.
Mohd Na’im hadir di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada hari ini bagi melancarkan pelepasan konvoi Misi Bantuan Banjir MAIWP-Insani yang akan bergerak ke negeri Johor.
Sehubungan itu, Mohd Na’im turut memberitahu bahawa program MAIWP-Insani pada kali ini telah memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah RM1 juta yang akan disalurkan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Hari ini, sebanyak 23 buah kenderaan akan digunakan untuk membawa 75 orang peserta konvoi dan 600 unit sumbangan dalam bentuk barangan keperluan serta peralatan pembersihan berjumlah RM250,000.
“Sebanyak 600 unit set peralatan persekolahan dan 1,000 unit barangan makanan turut dibawa ke Johor, hasil sumbangan daripada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.
“Sementara, sebanyak 1,000 unit barangan sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) dan 100 unit barangan sumbangan daripada Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) turut dibawa ke Johor,” jelasnya.
Antara yang menyertai konvoi ini terdiri daripada kakitangan MAIWP, syarikat milik MAIWP, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukarelawan skuad cuci-cuci MAIWP dan Briged Muda MAIWP.

Mereka akan bergerak ke lapangan membawa misi rahmah dan kasih sayang bagi menyantuni masyarakat yang ditimpa musibah banjir.
Turut hadir ke program pada pagi ini ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya; Pengarah JAWI merangkap setiausaha MAIWP, Datuk Mohd Ajib Ismail; Timbalan Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin; pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM); pegawai-pegawai kanan MAIWP dan JAWI serta ahli-ahli skuad yang menyertai misi bantuan banjir.
Mohd Na’im turut memberitahu bahawa dalam misi ini, selain membawa bantuan yang berbentuk barangan, ahli-ahli skuad yang terlibat juga akan berkongsi nasihat dan bimbingan rohani kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat.

“Tujuannya agar mereka yang dilanda musibah akan mendapat suntikan kekuatan dalaman. Justeru, bantuan pemeriksaan kesihatan juga akan diberikan oleh ahli skuad yang menyertai misi ini, terdiri daripada staf perubatan daripada Hospital Pusrawi dan MAIWP Healthcare.
“Mereka yang menyertai misi ini juga akan membantu dalam mengendalikan kerja-kerja pembersihan di beberapa buah rumah mangsa banjir yang terlibat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para anggota keselamatan, petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang telah banyak menyumbangkan jasa mereka kepada rakyat Malaysia di waktu musibah ini.
“Semoga dengan bantuan yang akan dihulurkan ini akan dapat meringankan beban dan kesedihan saudara-saudara kita yang terjejas akibat banjir ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2023




















