Sanusi cabar Zahid tangkap ‘pemimpin politik wang’

- Advertisement -

KUBANG PASU: Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dicabar menangkap mana-mana pemimpin politik di negara ini yang didakwa mengamalkan politik wang.

- Advertisement -

Pengerusi PN Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Timbalan Perdana Menteri itu sekarang mampu bertindak sedemikian kerana sudah mempunyai kuasa sekarang. 

“Dia (Zahid) sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri, jadi arahkan tangkap semua yang main politik wang, jangan cakap sahaja,” kata beliau ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, tuduhan demikian khususnya terhadap pemimpin PN sangat tidak berasas kerana perikatan itu tidak mempunyai wang untuk bertindak sedemikian.

Sebaliknya tambah Sanusi, Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tersohor sejak dahulu terlibat dengan politik wang.

“Politik wang dalam Umno dan BN bukan perkara baharu, sejak 70an dan 80an lagi. Sampai sekarang. 

“Jadi nasihat saya, tak perlulah kaitkan orang lain dengan perkara ini,” ulasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau tidak mahu mengulas lanjut berkenaan dakwaan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang mengatakan Menteri Besar Kedah itu tidak melakukan apa-apa yang baharu sejak memegang tampok pentadbiran negeri sebaliknya hanya menyambung projek yang dilaksanakan oleh BN sebelum ini.

“Saya setujulah dengan apa yang dia cakap. Saya hanya makan dan tidur sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2023

- Advertisement -