
RIYADH: Putera Mahkota Muhammad bin Salman sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan bantuan kewangan dan pelaburan kerajaan Arab Saudi di Pakistan sehingga mencecah AS$10 bilion (RM44 bilion).
Agensi Akhbar Saudi (SPA) yang dikendalikan kerajaan Saudi melaporkan pada Selasa (10 Jan) bahawa Dana Pembangunan Saudi akan mengkaji sama ada ia perlu menaikkan depositnya di bank pusat Pakistan daripada AS$3 bilion kepada $5 bilion.
Laporan yang sama menambah bahawa Riyadh juga mempertimbangkan meningkatkan pelaburannya di Pakistan mencecag AS$10 bilion.
Pelaburan tersebut akan membantu meningkatkan tindak balas terhadap banjir yang dahsyat tahun lalu, yang menyebabkan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal dan ekonomi Pakistan terumbang-ambing.
Ekonomi Pakistan bergelut kerana Islamabad tidak dapat mencapai persetujuan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan kemudian menjadi lebih teruk dengan banjir besar yang membanjiri negara itu dan mengurangkan separuh pertumbuhan ekonominya.
Pakistan sejak itu bergantung pada bantuan antarabangsa untuk membantu pulih, dan baru-baru ini memperoleh lebih daripada AS$9 bilion dalam ikrar pada persidangan antarabangsa di Geneva.
Dana Pembangunan Saudi sebelum ini menyediakan pinjaman dan geran kepada negara-negara membangun di seluruh dunia untuk membantu sekutunya atau mengukuhkan hubungan baharu.
Saudi dan Pakistan mempunyai hubungan ketenteraan, ekonomi dan politik yang utuh selama beberapa dekad.
Terbaharu, Ketua Tentera Pakistan Jeneral Amin Munir mengadakan pertemuan khas dengan Muhammad bin Salman pada Selasa (10 Jan) dan membincangkan cara untuk memperbaiki hubungan dua hala kedua-dua buah negara.
Lawatan beliau menyusuli lawatan serupa ke kerajaan Teluk oleh Perdana Menteri Pakistan. Shahbaz Sharif sebelum ini, yang bertujuan untuk mendapatkan pembiayaan selanjutnya untuk negara yang dihimpit kekurangan wang pada tahap serius itu. – HARAKAHDAILY 11/1/2023




















