RM750,000 Bantuan Am di setiap DUN T’ganu

- Advertisement -

BAGI setiap ADUN Terengganu, diperuntukkan satu peruntukan dinamakan Bantuan Am. Dengan bantuan inilah kita boleh buat macam-macam perkara untuk bantu rakyat. 

- Advertisement -

Antara yang kami biasa buat di Jabi ialah, beli barangan dan peralatan untuk baiki rumah seperti simen, atap, bata dan lain-lain. 

Ada keperluan nak cuci parit, cuci longkang, gali parit, pasang kalbot, tambung batu kasaran dan yang sewaktu dengannya juga boleh guna peruntukan ini.

Biasa nampak YB pikul plastik beras, gandum, gula, sardin, biskut, bihun, minyak masak, susu, milo dan macam-macam lagi masuk kampung, kita guna bajet ini untuk beli. 

Bila berlaku banjir, JKM memang tak mampu bantu semua. Duit ini juga kita guna untuk beli barangan keperluan mangsa. Masa COVID-19 pun sama.

Orang sakit nak kerusi roda, katil pesakit, mesin oksigen, bantuan bayar bil hospital, beli alat-alat perubatan, nak buat cermin mata dan lain-lain lagi yang seumpamanya kita boleh bantu dengan peruntukan ini.

PIBG Sekolah, Tadika, PASTI, Masjid dan mana-mana institusi pendidikan minta macam-macam sumbangan, kita boleh hulur dengan peruntukan ini. 

Anak-anak cemerlang keputusan periksa dan anak-anak nak masuk universiti pun kita selalu bagi hadiah dan bantuan dari peruntukan Bantuan Am ini.

JPKK nak buat pelbagai program kemasyarakatan dalam kampung, mereka mohon sumbangan dari ADUN dan kita luluskan sumbangan dengan peruntukan ini.

Rakyat kita nak buat kerja cari makan, mereka perlukan mesin nguli kuih, oven, kompressor, spanar, mesin rumput, mesin tebu, alat welding, mesin cabut bulu ayam, freezer, peti sejuk, mesin jahit, mesin choper dan mesin kelim kain yang nampak ambe duk usung masuk kampung, inilah sumber peruntukan untuk kita beli.

Rumah kena ribut, dihempap pokok terbalik dan pelbagai musibah lagi, kita beli perkakas dan barang-barang untuk baiki guna peruntukan ini. 

Pelbagai program sukan dalam DUN seperti Kejohanan Bolasepak, Sepak Takraw, Bola Tampar, Bola Jaring dibiayai dengan peruntukan ini. 

Bertimbun surat atas meja ambe nak minta pelbagai bantuan seperti bayar bil api, bil air, yuran anak nak masuk universiti, bil hospital, bayar denda IC hilang, bantuan sara hidup dan aneka jenis bantuan, kita boleh bantu dengan peruntukan ini.

Rakyat kita nak baiki kandang lembu, kandang kambing, bangsal arnab, bangsal cendawan, bangsal jual goreng pisang dan bangsal burger, buat tandas, kita bantu dengan duit ini.

Panjang lagi kalau nak senarai, cukuplah di sini sebagai suatu gambaran umum.

Pelbagai aneka senarai bantuan, berapa peruntukan setahun? Untuk setiap YB ADUN Kerajaan dapat RM750,000. Banyak juga kalau itu duit kita seorang, tapi bila nak jaga 6,000 buah rumah di Jabi, 24,000 pengundi dan berpuluh ribu lagi yang bukan pengundi, alhamdulillah ianya cukup-cukup. 

Tak cukup gaji YB kan ada boleh topup. Pelbagai lagi bantuan tak direkodkan keluar dari poket YB. Ziarah orang sakit, mati dan kenduri-kendara, itu tugas seorang YB sejak azali lagi. Poket kena ada isi.

RM750,000 Bantuan Am tersebut disalurkan melalui Pejabat Daerah dengan DO sebagai Pegawai Pengawal. Setiap permohonan dan tuntutan mesti disertakan dengan dokumen lengkap selaras dengan tatacara kewangan kerajaan dan setiap sen perbelanjaan akan diaudit. 

Bukan RM750,000 masuk akaun YB dan atas YB nak belanja ke mana untuk buat apa saja. YB hanya buat permohonan peruntukan ini beserta dokumen lengkap dan kuasa melulus ialah DO di Pejabat Daerah. Biasa saja permohonan dikembalikan semula bila didapati ianya tak lengkap.

ADUN BN Terengganu pernah disalurkan Peruntukan Bantuan Am RM250,000 manakala Pegawai Penyelaras DUN RM500,000. Menjadikan DUN yang dimenangi BN juga dapat jumlah peruntukan sama RM750,000. 

Yang banyak berperanan bantu rakyat ialah Pegawai Penyelaras DUN kerana mereka mewakili pentadbiran negeri di DUN tersebut. Kalau nak pertikai sebab apa ADUN BN dapat sedikit, sebaiknya tanya dulu sama ada ADUN PAS yang jadi pembangkang di negeri-negeri lain ada dapat tak peruntukan atau tidak? Tanya juga zaman PAS jadi pembangkang di Terengganu, berapa RM peruntukan disalurkan kepada mereka?

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 9/1/2023

- Advertisement -