
PENAMATAN permit premis judi merupakan antara perkara terawal diumumkan Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas mengambil alih pentadbiran daripada Pakatan Harapan (PH).
Ekoran pengumuman tersebut, Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) diketuai PAS itu dikecam cemuh dan dipertikaikan lawan politik, termasuk cuba diheret ke mahkamah oleh beberapa individu berpeguamkan pimpinan DAP.
Desakan untuk Kedah menarik balik penguatkuasaan bermula 1 Januari 2023 itu semakin kuat kedengaran hingga diatur pelbagai wacana dan pandangan ‘pakar’ mengulas dari segenap aspek untuk menampakkan ketidakwajaran.
Mereka cuba meletakkan Kedah di ‘kandang pesalah’ dengan membebankan tekanan bahawa langkah tersebut salah, mundur dan kolot, juga menyebabkan kehilangan hasil pendapatan, serta menidakkan hak kaum lain.
Ramailah juru bicara dan segala pakar diundang bagi memperkata atau mengulas keputusan dan pelaksanaan dengan diberikan penilaian negatif yang mempunyai sekurang-kurangnya dua motif atau tujuan.
Satu, untuk meragukan atau menimbulkan rasa was-was kepada pihak pelaksana untuk sekurang-kurangnya mengkaji semula keputusan, yakni supaya dilihat berpendirian tidak konsisten, tidak berprinsip, tidak sistematik, cetek, dangkal dan gopoh.
Jika itu terjadi, tentulah lanjutan keputusan tersebut akan pincang dan berlaku perbezaan pendapat sesama sendiri dan menyebabkan kesangsian untuk kebolehlaksanaan atau dikuatkuasakan tindakan.
Kedua, memarakkan sentimen kebencian dan jurang pihak lain, termasuk dimainkan secara perkauman dan agama dengan momokan atau manipulasi yang salah lagi ekstrem bersifat diskriminasi dan permusuhan.
Ini satu tindakan mewujudkan provokasi dan tidak harmoni konon teraniaya atau ditindas, sekali gus meraih perhatian atau campur tangan ‘asing’, selain melemahkan kecenderungan atau minat pihak lain yang awalnya mahu bersama keputusan itu.
Pengalaman Kelantan
Demikian seperti itulah Kelantan pernah diperlakukan dahulu apabila Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan menghentikan permit premis judi di bumi Serambi Makkah ini.
Sedangkan ia tindakan berteraskan perintah dan larangan Allah S.W.T yang disyariatkan Islam ke atas orang beriman. Sama sekali bukan menyekat ‘hak asasi’ atau memusuhi kaum lain, bahkan juga bukan tindakan politik.
Bermakna, tindakan Sanusi di Kedah, begitu juga sebelumnya Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu dan insya-Allah menyusul Cikgu Mohd Shukri Ramli di Perlis, bukanlah kerana mengikut Kelantan.
Tetapi mereka menunaikan taklifan kekhalifahan iaitu tanggungjawab selaku pemimpin tertinggi di negeri masing-masing dan bukti keimanan dengan menangani kewujudan aktiviti mungkar tersebut.
Kelantan hanya menjadi contoh bagaimana ia boleh diuruskan di sebalik ‘budaya’ telah sedia bersebati dalam segelintir masyarakat yang ketandusan kepada aktiviti tersebut dalam pelbagai bentuk.
Orang ramai mungkin melihat langkah itu dengan menutup operasi kedai nombor ramalan seperti Sport Toto, Magnum dan Da Ma Cai yang dilesenkan serta dikaut cukai oleh Kerajaan Persekutuan.
Tetapi ketegasan dimulai pemerintahan PAS tahun 1990 itu turut memandul, bahkan mematikan kegiatan perjudian tersembunyi seperti laga ayam atau lain-lain haiwan, serta pelbagai bentuk pertaruhan judi lainnya.
Ini bererti, tindakan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta akan menyusul Perlis, adalah menghapuskan juga pelaku dan tabiat judi hingga ke akar umbi, termasuk yang terselindung dari penglihatan nyata.
Dalang besar
Hanya beberapa individu ‘kepala’ masyarakat kaum yang bersuara apabila keputusan tersebut dikuatkuasakan di mana suara mereka tidak lebih satu usaha untuk meraih sokongan undi menjelang PRU atau PRN bakal menjelang.
Mereka mendakwa ia tradisi dan sebahagian kehidupan masyarakat bukan-Islam. Hakikatnya, sebelum Almarhum Tuan Guru Nik Aziz bertindak 32 tahun dahulu, beliau meneliti hal itu dalam kalangan tokoh penganut agama-agama lain.
Tiada agama yang menyatakan perjudian sebahagian acara apatah lagi amalan ritual mereka. Bahkan di China yang merupakan negara bukan-Islam, perjudian telah diharamkan oleh pemerintah sejak tahun 1940-an.
Malah sejak penguatkuasaan di Kelantan, pimpinan negeri ketika menerima kunjungan-kunjungan daripada masyarakat bukan-Islam sering menerima pujian dan penghargaan atas pelaksanaan tersebut.
Masalah keluarga, rumah tangga atau kehidupan disebabkan perjudian telah ditunjukkan jalan dan didikan yang betul apabila kuasa pentadbiran digunakan untuk mengekang aktiviti seperti itu.
Mereka menikmati rahmah dan manfaat positif dari pelaksanaan itu setelah melalui akibat bahana buruk dan mencemaskan apabila judi menjadi sebahagian rutin ahli keluarga sebelum ini.
Kerana itu, pengharaman judi sebenarnya tidak pernah menjadi isu membenci dalam masyarakat kebanyakan, kecuali ‘kepala’ kaum yang cuba mengadu domba dan menagih kepentingan iaitu biasanya berkaitan politik.
Manakala wujud dalam kalangan orang Melayu-Islam sendiri mereka yang menzahirkan diri sebagai pembela kononnya kepada hak dan tradisi kaum bukan-Islam dengan pelbagai hujah untuk merasional atau mewajarkan.
Rupanya, mereka inilah antara pengaut keuntungan daripada kegiatan judi yang dilesenkan menerima habuan dan komisyen atau saguhati dalam pelbagai bentuk termasuk pembiayaan politik.
Ringkasnya, mereka inilah pembaja kegiatan haram lain yang tumbuh di sebalik kegiatan judi dilesenkan, termasuk melindungi segala taikun, tauke, jerung, gengster, kongsi gelap dan pelbagai lagi.
Istiqamah dan thabat
Kelantan dianaktirikan dan berdepan pelbagai cabaran dalam segenap hal selama ini antaranya kerana istiqamah dan thabat untuk memastikan amar makruf nahi munkar terlaksana termasuk dalam isu ini.
Oleh itu, pelbagai konotasi dan propaganda jelek sedang dihadapkan kepada Kedah dan mungkin selepas ini Perlis, adalah ujian yang mesti dibentengi bersama seluruh umat Islam khususnya ahli-ahli PAS.
Dengan terlaksananya perkara ini di Terengganu, Kedah dan nantinya di Perlis, ia menunjukkan bahawa usaha dakwah dan tarbiyah Islam di wadah PAS telah melestari ke sebahagian besar negara ini.
Hal tersebutlah membuatkan musuh PAS dan musuh Islam tidak menyenanginya. Namun, setidak-tidaknya kita berbangga, betapa undi pernah diberikan rakyat Kelantan merupakan saham paling laku di pasaran hari ini.
Insya-Allah sedikit masa lagi ia akan sampai ke Putrajaya dan tentunya dengan PAS berada di situ. Tetapi jika Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim nak laksanakan dulu, amatlah dipersilakan.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 9/1/2023




















