
POIPET, Kemboja: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah hotel kasino, Grand Diamond City di Kemboja berhampiran dengan sempadan Thailand.
Menurut kenyataan pihak polis Kemboja, kejadian itu berlaku pada jam 11.30 malam, Rabu (28 Dis) waktu tempatan, membabitkan beratus-ratus pengunjung berada di dalam bangunan hotel kasino berkenaan yang dikatakan telah menggajikan kira-kira 400 pekerja itu yang bekerja di kasino itu – majoritinya warga Thailand, lapor AFP.
Seorang sukarelawan bersama kumpulan penyelamat Thailand Ruamkatanyu Foundation yang enggan dikenali berkata, pasukannya tiba di tempat kejadian sekitar jam 3.30 pagi, dan melihat orang ramai melompat keluar dari bangunan tersebut.
Beliau memberitahu bahawa kebakaran bermula di tingkat satu tetapi api merebak dengan cepat membakar permaidani dan mangsa-mangsa yang berada di kawasan itu melompat ke atas melalui bangunan bertingkat itu.
“Saya menyaksikan orang ramai berlari keluar dari bangunan itu untuk melarikan diri daripada asap tebal,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, berdasarkan rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai melompat keluar untuk menyelamatkan diri dan terjatuh dari tingkat atas bangunan dalam usaha terdesak untuk melarikan diri dari api.
Dalam satu klip video itu juga menunjukkan seorang lelaki yang tidak dikenali dilihat duduk di birai tingkap ketika asap berkepul keluar dari belakangnya. Di tempat lain pula, sekumpulan orang berkumpul apabila api semakin dekat.
Pengarah Jabatan Maklumat Wilayah Banteay Meanchey Kemboja, Sek Sokhom memberitahu media, seramai 19 orang yang disahkan terkorban itu adalah berdasarkan kepada jasad badan dan tulang mangsa yang ditemui di tempat kejadian.
Beliau turut memberitahu berkemungkinan jumlah kematian akan meningkat lebih tinggi, kerana pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bahagian bangunan kerana asap tebal.
Selain itu, katanya lagi, ramai mangsa yang cedera dalam kebakaran itu dihantar ke sempadan untuk mendapatkan rawatan termasuk dihantar ke hospital di bandar Aranyaprathet.
Pegawai Kesihatan Awam Tempatan, Prapas Pookduang pula memberitahu AFP bahawa 13 orang telah diberikan bantuan kecemasan segera.
Dalam pada itu, Gabenor Sa Kaeo Parinya Phothisat berkata bahawa 50 mangsa yang diselamatkan dalam kebakaran itu telah dimasukkan ke Hospital di Thailand.
“Sementara, kira-kira 60 orang lagi yang terperangkap dalam kebakaran itu telah diperiksa dan dirawat pihak hospital Thailand.
Beliau berkata secara keseluruhannya, Hospital Thailand telah merawat mangsa kebakaran itu seramai 79 warga Thailand, 30 warga Kemboja dan lapan warga Indonesia.
Kira-kira 100 orang penyelamat diarah memadamkan api kebakaran yang berlaku di kompleks bangunan itu, dan pihak berkuasa masih berusaha mengenal pasti punca kebakaran.
Terdahulu, kebakaran di sebuah kelab malam di Thailand pada Ogos lalu telah mengorbankan 26 orang, menakala kebakaran di sebuah bar karaoke di selatan Vietnam turut mengorbankan 32 orang pada bulan berikutnya.
Poipet adalah sempadan utama antara kedua-dua Vietnam dan Thailand yang terkenal dengan kasino yang dilawati ramai warga Thailand kerana perjudian diharamkan di Thailand. – HARAKAHDAILY 30/12/2022




















