
KUALA LUMPUR: “Zaman ini ialah politik menabur khidmat dan bakti tanpa musim,” kata AJK PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim.
Sehubungan itu, menurutnya teruskan kerja dan rakyat tahu menilai.
“Feel good factor. Orang Jabi kata, biar rakyat beraso suko hati. Suatu istilah umum dan pemahamannya adalah berbeza,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Belaiua berkata, rakyat di kampung-kampung tidak meminta banyak perkara untuk mereka rasa feel good factor.
“Ada pemimpin yang cakna, aduan mereka diambil berat, isu dan masalah mereka diselesaikan pada kadar yang sepatutnya, masyarakat boleh hidup harmoni dan bersaudara, keperluan harian boleh didapati dan diperolehi, khidmat awam yang mesra rakyat bawahan dan insfrastruktur dalam kampung memberikan keselesaan sepatutnya,” ujarnya yang juga Adun Jabi.
Ini, kerana jelas beliau masyarakat sudah berubah.
Tambahnya, rakyat tidak berminat lagi pemimpin yang banyak bercakap dan berpolitik, suka kondem atau kritik pihak lain dan selalu mencipta alasan.
Beliau berkata, rakyat juga tidak minat dengan pemimpin yang banyak slogan serta formula, suka buat janji itu dan ini serta pemimpin yang suka poligam.
“Poligam itu bukan poligami tapi politik gambar,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/12/2022




















