
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan televisyen.
Pengerusi PERIKATAN NASIONAL itu menerusi hantaran di Facebooknya malam ini menambah, ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.
Beliau juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang telah dipilih oleh ahli-ahli kariah.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap para pendakwah dan AJK masjid semata-mata kerana berlainan fahaman politik.
Menurutnya, pihak berwajib yang mentadbir urusan agama Islam tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam.
Demikian juga, ujarnya pengurusan masjid yang dibuat dengan memilih AJK secara demokratik oleh ahli-ahli kariah tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.
“Saya tahu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada PERIKATAN NASIONAL dalam PRU15 yang lalu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Tambahnya, ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
“Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi,” tambahnya.
Beliau berkata, selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.
“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 26/12/2022




















