Kelantan yakin OACP mekanisme terbaik tangani rasuah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan yakin Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dijangka selesai akhir tahun ini akan menjadi mekanisme terbaik untuk menilai dan mengawal budaya integriti pada pelbagai peringkat bawahan.

- Advertisement -

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pelan yang bertujuan memperkasa integriti itu melibatkan 11 Pejabat Tanah dan Jajahan serta 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata OACP juga akan mempertingkatkan tadbir urus organisasi di bawah kerajaan negeri, selain ia selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menekankan agar setiap organisasi mempunyai pelan antirasuah sendiri.

“Semua yang dilaksanakan adalah bagi menangani permasalahan tadbir urus, integriti dan sebagai penanda aras komitmen sesebuah organisasi dalam memerangi rasuah berdasarkan tadbir urus yang cemerlang,” katanya.

Ahmad Yakob berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Kelantan 2022 di Kota Darul Naim, di sini hari ini. 

Beliau berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri beserta jabatan-jabatan di bawah pentadbiran kerajaan negeri akan turut menyertai Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (AIGA).

AIGA memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi mereka.

“Undang-undang berkaitan dengan Liabiliti Korporat dan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 telah diwartakan dan dikuatkuasakan mulai 1 Jun 2020, maka agensi kerajaan negeri serta anak-anak syarikat tidak terlepas dengan penguatkuasaan.

“Oleh yang demikian, penglibatan anak-anak syarikat di bawah kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri besar Kelantan (PMBK) dalam menyertai kursus tatacara mencakupi Seksyen 17A bersama Institut Integriti Malaysia akan dapat membantu mempertingkatkan kefahaman serta memperkasakan fungsi tadbir urus sekali gus lebih telus,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -