KOTA BHARU: Budaya kerja berintegriti harus dipraktikkan dalam setiap aspek perkhidmatan secara telus tanpa unsur salah guna kuasa.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, tanggungjawab itu perlu digalas sebaik mungkin seluruh penjawat awam negeri dan Persekutuan di Kelantan.
Menurutnya, ketirisan integriti boleh menjadi punca yang mampu menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam.
“Sebagai penjawat awam yang merupakan tulang belakang penyampaian perkhidmatan kerajaan perlu sedar rakyat mengharap perkhidmatan yang cemerlang bagi menjamin kesejahteraan dan kebajikan mereka.
“Dengan memartabatkan integriti, ia berupaya memacu Kelantan ke arah lebih cemerlang selaras pendekatan Merakyat Membangun Bersama Islam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Intergriti Peringkat Negeri di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail. Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.
Pada program tersebut, seramai 500 kakitangan penjawat awam negeri melafaz Sumpah Ikrar Bebas Rasuah.
“Bagi membangunkan sebuah kerajaan berintegriti dan mempunyai nilai ‘good governance’, tanggungjawab itu perlu dipikul semua pemimpin dan kakitangan kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, untuk mencapai tahap tersebut bukan suatu perkara yang mudah bahkan memerlukan penghayatan serta tindakan berasaskan prinsip ditetapkan.
“Bagi membentuk sebuah negeri bersih dan berintegriti di bawah dasar Membangun Bersama Islam ia perlu dihayati dengan prinsip Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan (UMI).
“Prinsip UMI menekankan sifat manusia sebagai hamba Allah dan Islam menekankan pengurusan sesuatu kerja mesti meletakkan Allah SWT sebagai asas kesempurnaan.
“Budaya integriti akan wujud bila mana kita melaksanakan tugas dengan mengambil kira soal dosa pahala, halal dan haram serta haq dan batil,” jelasnya.
Sementara itu Tuan Zainal Abidin berkata, kerajaan negeri amat tegas dan komited memerangi ancaman rasuah.
“Anak-anak syarikat kerajaan hendaklah menyediakan tatacara mencukupi Seksyen 17A Akta SPRM dan memastikan seksyen itu dipatuhi,” tegas beliau.
Menurutnya juga, kerajaan negeri buat kali kedua menyahut cabaran mendapatkan pengiktirafan melalui Pensijilan Anti-Bribery Management Systems (ABMS) MS ISO 37001:2016 yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) pada Ogos 2022.
Sijil tersebut diserah Ketua Eksekutif SIRIM QAS Internasional Sdn. Bhd., Fadhilah Muhammad kepada Tuan Zainal Abidin dengan disaksikan anggota Exco. – HARAKAHDAILY 15/11/2022