
BACHOK: Pasar Besar Siti Aisyah di Pekan Jelawat kini sudah banyak berubah selepas usaha gigih dilakukan Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Azziz Kadir dalam memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.
Abdul Azziz berkata, beliau telah memohon peruntukan sebanyak RM400,000 daripada kerajaan negeri bagi menaik taraf kemudahan di pasar terbabit sejak berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, pasar tersebut menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk mendapatkan keperluan harian termasuk makanan, pakaian dan keperluan lain.
“Kita telah naik taraf pasar dengan menyediakan ruang khas untuk peniaga kuih-muih yang melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000. Lokasi itu bersebelahan dengan tempat jualan sayur-sayuran.
“Dataran di hadapan pasar pula dibina untuk aktiviti masyarakat. Kemudahan infrastruktur tersebut pula membabitkan kos kira-kira RM200,000,” katanya ditemui ketika meninjau pasar tersebut.
Abdul Azziz yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok berkata, perbincangan dengan Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam sering diadakan untuk memastikan keceriaan pasar.
Tambahnya, perbincangan turut diadakan mengenai cadangan memindahkan peniaga dari Pasar Besar Siti Aisyah ke pasar di Madinah Zahra di Bandar Baharu Jelawat.
“Bagaimanapun seramai 188 peniaga di Pasar Besar Siti Aisyah diberi pilihan untuk berniaga di pasar baharu yang mempunyai 300 lot perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2022




















