
PADANG TERAP: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid menawarkan tujuh tawaran sekiranya beliau dipilih sebagai ahli parlimen terbabit 19 November ini.
Beliau yang ditemui HarakahDaily berkata, tujuh tawaran berkenaan meliputi keperluan dalam membantu penduduk Padang Terap yang kebanyakannya dari golongan kurang berkemampuan.
“Antaranya, menyedia dan membangunkan pelan dasar Model Kompleks Bersepadu Pendidikan Islam di Padang Terap.
“Selain itu, program Kedah Rubber City dipasikan berjalan rancak seterusnya memberi peluang pekerjaan buat penduduk tempatan,” jelasnya.
Tambah beliau, seterusnya mewujudkan Koperasi Wargatani Padang Terap untuk membela petani dan pekebun dengan peralatan pertanian, baja dan racun yang kompetetif.
“Selain daripada itu menjadikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Padang Terap sebagai Pusat sehenti latihan menjana ekonomi khususnya untuk kaum petani,” katanya.
Nurul Amin yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar Kedah juga komited akan terus menyokong dasar dan usaha kerajaan negeri mencapai matlamat negeri orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti dibawah slogan Kedah Sejahtera, nikmat untuk semua.
“Saya juga berhasrat untuk mewujudkan ‘One Stop Center’ Komuniti Belia Sejahtera Padang Terap untuk pembangunan belia daerah termasuk pembangunan sukan.
“Secara tidak langsung memberi ruang untuk membantu anak-anak muda di daerah ini,” tambahnya.
Graduan Sarjana Muda Kepujian, Usuluddin dan Dakwah, Universiti Al-Azhar, Mesir ini bukan sahaja berwawasan membantu golongan petani di daerah itu tetapi juga golongan pendidik dan pelajar.
Justeru katanya, beliau komited untuk mewujudkan Majlis Perundingan Warga Pendidik Daerah Padang Terap untuk membela nasib guru dan pelajar. – HARAKAHDAILY 17/11/2022




















