Momentum rakyat diharap kekal hingga hari mengundi

- Advertisement -

TIDAK sampai 48 jam lagi, lebih 21 juta rakyat negara ini akan menunaikan tanggungjawab. Sebanyak 50.17 peratus daripada pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ialah pengundi wanita. Detik akhir kempen mampu memperlihatkan bayangan yang akan berlaku Sabtu ini. Oleh itu, bagi mendapat gambaran mengenainya, ikuti temu bual wartawan Harakahdaily, MUHAMMAD ARIF ISMAIL bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang ditemui ketika menziarahi warga Pondok Pasir Tumboh, Kelantan, hari ini.

- Advertisement -

Harakahdaily: Bagaimana Dato’ Sri melihat detik akhir kempen PRU15?

Tuan Ibrahim: Alhamdulillah, secara keseluruhan kelmarin dan hari ini berjalan lancar tiada banyak masalah dan kita nampak mood orang ramai pun nampak positif, akhir-akhir ini lebih positif. Semalam saya ada program di Kuala Nerus pun sambutan sangat bagus. Alhamdulillah, anak muda, malam tadi pun kita buat ceramah dan malam ini pun, ceramah penutup di Machang InsyaAllah akan jadi momentum untuk berterusan sampai hari mengundi.

Cuma kedua, saya minta supaya biasanya pengalaman kita setiap kali pilihan raya umum, hari terakhir kita kena mengelak benda-benda kemungkinan berlaku sabotaj, berlaku cerita yang bukan-bukan, dakwaan yang bukan-bukan. Hak ini biasa dua tiga hari terakhir ini biasa banyak berlaku terutama di media sosial.

Jadi kita minta siapa-siapa yang menerima maklumat tidak betul tu delete (padam) sahaja, jangan sebar kepada orang lain. Mudahnya kita sebagaimana Tuan Guru Presiden pesan perbanyakkan membaca al Quran dan kurangkan baca Facebook yang mengarut. Yang betul tak apa kita sebar, sebab fitnah akhir zaman ini melampau-lampau sangat tiada adab tiada etika, tiada akhlak tidak reti dosa pahala. Jadi sebagai orang Islam kita kena jaga perkara tersebut.

Seorang penduduk tidak melepaskan peluang bergambar bersama Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Bagaimana perkembangan kempen dan PERIKATAN NAASIONAL di seluruh Malaysia?

Secara keseluruhannya berjalan baik cuma ketegangan berlaku di beberapa tempat, mungkin penyokong sama penyokong, nampak ada kumpulan yang tertekan ini dia akan buat provokasi yang melampau. Jadi walaupun secara umumnya tiada banyak kes, tetapi ada kes-kes tersebut kita harapkan benda ini kita dapat dikawal.

Pasukan petugas pilihan raya pada hari pembuangan undi akan pastikan keadaan terkawal. Saya berharap petugas pilihan raya kita supaya selagi tidak ada pengumuman keputusan pilihan raya, tugas kita masih belum selesai.

Jadi sampai akhir siap penjumlahan undi, selagi belum diumumkan selagi itu tugas kita belum selesai di pusat pengundian masing-masing. Saya hendak ucapkan terima kasih kepada petugas pilihan raya kita yang bertugas pada hari-hari terakhir ini.

Bagaimana Dato’ melihat potensi di Pahang dan Perlis?

Perlis, saya tidak pergi cuma saya dapat maklumat kawan-kawan nampak positif, tetapi di Pahang saya turun dua tiga tempat nampak momentumnya Alhamdulillah hingga setakat ini positif sangat. Positif dan saya yakin akan ada penambahan kemenangan PERIKATAN NASIONAL di Pahang kali ini.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berkempen pada PRU15

Sebagai penyandang di kerusi Parlimen Kubang Kerian, apa fokus Dato’ Sri selepas ini?

Pertama sekali kita sedang berusaha untuk menjadikan Kubang Kerian sebagai Bandar Diraja sebagaimana negeri-negeri yang ada bandar diraja. Kubang Kerian adalah Bandar Diraja bagi negeri Kelantan yang kebetulan istana berada di Kubang Kerian.

Terdapat juga hospital, pusat pengajian pun banyak di Kubang Kerian. Bandar Baru Tunjung juga berada di kawasan Parlimen Kubang Kerian. Begitu juga Bandar Satelit Pasir Tumboh.

Pelan pembangunan di Kubang Kerian difokus pembangunan yang lestari di mana di peringkat perancangan untuk mewujudkan sistem pembentungan berpusat. Di Bandar Baharu Tunjung, kita jadikan satu sistem yang lebih sofistikated, kita sedang membangunkan usaha untuk mewujudkan sistem pembentungan bersepadu.

Alhamdulillah antara kejayaan kita ialah berjaya mengambil alih pengurusan sistem pembentungan dari syarikat Majari kepada Indah Water Konsortium (IWK). Dengan itu kita telah pam dana lebih RM10 juta untuk naik taraf sistem pembentungan di Kelantan. Kita ambil alih semua kemudahan pembentungan yang ada. Sekarang kita sedang naik taraf di peringkat agensi di bawah IWK, termasuk pam dalam proses yang sedang berjalan. Kita kekal semua kakitangan Majari dan upgrade gaji mereka Alhamdulillah.

Ini antara kejayaan, antara usaha besar kita di peringkat Parlimen Kubang Kerian ialah bagaimana kita hendak jadikan Kubang Kerian sebagai bandar yang teratur dan tersusun. Bandar yang baru dibangunkan dengan sistem jalan raya, perumahan, sistem pengairan dan sebagainya kita dapat lestarikan.

Oleh itu saya berharap bandar di parlimen Kubang Kerian mempunyai potensi besar dalam industri pelancongan. Terdapat banyak destinasi yang boleh dijadikan tarikan pelancong dan ini sedang diusahakan sebahagiannya telah berjaya dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 17/11/2022

- Advertisement -