
ARAU: Gelombang kebangkitan rakyat menyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) bukan sahaja berlaku di bandar-bandar, malah di kampung-kampung khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.
Penyandangnya, Mohd Shukri Ramli berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau melihat peralihan sokongan dalam kalangan penduduk kampung begitu ketara.
“Penduduk kampung tampak berbeza dari kempen pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu, mereka menyambut kita dengan begitu baik dan mesra sehingga didapati ramai penyokong Umno sebelum ini beralih untuk bersama PN.
“Insya-Allah kita bukan sahaja dapat mempertahankan DUN Sanglang dan Guar Sanji, tetapi kita dapat menawan Perlis pada PRU-15 ini, bagi memastikn kejayaan lebih menyerlah lagi saya menyeru semua rakyat untuk dua hari terakhir ini kita beramai-ramai membina Perlis yang baharu,” katanya selepas sesi ziarah di sekitar Kampung Bunga Mas Timur, di sini, hari ini.
Katanya lagi, PN bersedia mentadbir Negeri Perlis dengan tema prihatin, bersih dan stabil justeru beliau menyeru pengundi agar tidak ketinggalan menyatakan sokongan kepada PN dengan dibuktikan pada hari mengundi nanti.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar pihak lawan tidak menabur fitnah semasa aktiviti kempen dijalankan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan menyeru kepada calon Pakatan Harapan (PH) Sanglang, supaya jangan membuat fitnah kerana saya mendapat maklumat beliau berbuat demikian kepada Dato’ Seri Shahidan Kasshim.
“Kita perlu fikir tentang dosa pahala semasa tempoh berkempen,” ujarnya.
Sepanjang beliau menjadi ADUN di DUN tersebut, pelbagai masalah rakyat telah diketengahkan antaranya melibatkan masalah petani, perumahan dan bekalan air di kawasan perumahan.
“Kita telah bantu penduduk yang tiada tempat kediaman untuk mereka dapatkannya menerusi agensi kerajaan negeri dan juga pusat.
“Masalah petani juga telah kita suarakan di setiap kali persidangan DUN seperti masalah pengairan di bendang khusunya di kawasan MADA,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan bukan hanya dibuat oleh ADUN tetapi dibuat oleh kerajaan negeri tambahan pula beliau hanya sebagai wakil rakyat pembangkang.
“Kita sebagai wakil rakyat pembangkang ini hanya hanya mencadang supaya dibangunkan kawasan Sanglang, tetapi jika tiada peruntukan dari kerajaan Negeri maka kita tidak dapat berbuat apa-apa.
“Tetapi kali ini jika rakyat beri kepercayaan kepada PN, maka kita akan rancang untuk membangunkan Negeri Perlis khususnya di Sanglang.
Untuk rekod, sepanjang tahun 2022, isu tiada bekalan air di kawasan perumahan sudah tidak berlaku seperti yang sering berlaku pada tahun sebelumnya. -HARAKAHDAILY 17/11/2022




















