
PADANG BESAR: Berbaki sehari sahaja lagi masa berkempen, Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undang Negeri (DUN) Santan tetap istiqamah menyantuni para pengundi di kawasannya.
Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, jika PN berjaya menawan negeri Perlis, beliau berazam menyelesaikan masalah perparitan yang berlaku di DUN tersebut.
“Antara masalah yang saya nampak apabila masuk ke kampung-kampung, masalah perparitan, ada tempat yang menjadi lembah, tidak ada parit jadi bila berlaku hujan lebat kawasan tersebut akan berlaku banjir kilat.
“Contohnya di Padang Pauh, Baroh dan beberapa tempat yang lain. Sepanjang tempoh ziarah baharu kita tahu, perlunya sistem perparitan yang baik supaya masalah banjir kilat dapat diatasi,” katanya.
Menurut beliau lagi, penduduk DUN Santan kebanyakannya terlibat dengan aktiviti pertanian terutamanya tanaman padi justeru beliau melihat bagaimana untuk meningkatkan pengerluaran hasil padi.
“Petani di sini seringkali diuji dengan masalah ‘padi angin’, jadi kita akan cari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini.
“Selain itu, masalah ini memang tidak dapat dielakkan, yang mana sekali pun ia akan berlaku, maka pendidikan agama adalah jalan penyelesaian yang terbaik kepada masalah ini terutamanya dalam kalangan anak muda khususnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ujarnya perjalanan kempen dalam DUN berjalan dengan baik dengan hampir segenap kampung telah dimasuki oleh jentera PN serta calon sendiri.
“Sehingga kini, kita telah memasuki lebih kurang 80 peratus kampung yang berada dalam DUN Santan.
“Begitu juga kita singgah solat di lapan buah masjid yang ada dalalam DUN ini,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap agar pengundi di DUN Santan dapat memberikan peluang kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan bagi menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.
“Bukan hanya DUN malah kita mengharapkan agar kita juga berjaya menawan Negeri Perlis buat pertama kalinya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2022




















