Pakaian dibakar: Lagi kontroversi Zara Israel

Ketua Parti Buruh Israel, Merav Michaeli. (FOTO: Iknowpolitics.org)
- Advertisement -

Susunan ZULHAIDI MANSOR

- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Syarikat gergasi fesyen Sepanyol, Zara mengulangi kontroversi membabitkan isu Israel-Palestin, kali ini selepas ketua francais tempatan jenama terkenal itu menjadi tuan rumah kepada acara kempen pemimpin ekstrem kanan rejim haram, Itamar Ben-Gvir.

Video yang viral dikongsi di media sosial menunjukkan rakyat Palestin yang mengesa Zara Israel diboikot telah membakar pakaian jenama itu sejurus selepas pemilik francais Zara di Israel, Joey Schwebel menganjurkan acara kempen untuk Ben-Gvir di kediamannya, lapor TRT World

Sementara France24.com melaporkan bahawa Fayez Abu Souhaiban, Datuk Bandar Rahat, sebuah bandar di selatan Israel dengan majoriti penduduknya keturunan Arab, menyelar Zara dalam video yang tular di media sosial itu.

Kontroversi tercetus selepas ketua francais Zara Israel, Joel Schwebel menjadi tuan rumah kepada acara kempen pemimpin ekstrem kanan rejim haram, Itamar Ben-Gvir. (FOTO: YouTube)

“Kami perlu membakar pakaian (Zara cawangan Israel) ini dan saya menyeru rakyat untuk memboikot syarikat ini,” katanya sambil membakar pakaian jenama berkenaan.

Schwebel mengetuai Trimera Brands, syarikat pengedaran fesyen gergasi yang merupakan francais di Israel untuk Zara, yang mengawal  jualan jenama tersebut dan jenama lain yang dimiliki Inditex Sepanyol.

Ben-Gvir ialah ketua Otzma Yehudit, sebuah parti yang secara meluas dianggap sebagai pengganti ideologi parti pelampau Kach yang diharamkan.

Ketua pereka Zara ‘serang’ model Palestin

Sementara  menurut laporan agensi berita Palestin, Wafa pula, Kementerian Ekonomi Negara Palestin mengumumkan bahawa Zara perlu memikul tanggungjawab impak daripada perbuatan Schwebel itu.

Model Palestin, Qaher Harhash melancarkan kempen memboikot jenama Zara pada tahun 2021. (FOTO: Instagram @qaherhar)

“Sebarang syarikat atau individu dilarang sama sekali daripada menyokong perkauman, mempertahankan pembunuhan orang ramai dan mempromosikan pengusiran penduduk dari tanah air mereka di bawah undang-undang antarabangsa,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Hakim Negara Palestin, Mahmoud Habbash, telah mengeluarkan dekri (fatwa) agama Islam yang melarang sesiapa daripada bekerja dengan kedai yang menjual produk dari jenama itu. 

Beliau juga menuntut institusi Islam di seluruh dunia mengeluarkan fatwa yang sama sehingga syarikat itu membatalkan kontraknya dengan Schwebel.

Kontroversi membabitkan Zara dengan  isu Israel-Palestin pernah tercetus pada tahun lalu apabila ketua pereka untuk jabatan wanita jenama Zara, Vanessa Perilman dikecam selepas ‘menyerang’ model Palestin, Qaher Harhash melalui mesej peribadi Instagram.

Datuk Bandar Rahat, Fayez Abu Souhaiban ketika ditemubual AFP di pejabatnya di Rahat, selatan Israel pada 7 Oktober 2022. (FOTO: AFP).

Ketua Parti Buruh Israel boikot Zara 

Mesej Perilman itu, menurut laporan Haaretz.com pada 15 Jun 2021, adalah sebagai tindak balas kepada siaran pro-Palestin yang dikongsi oleh model lelaki itu, yang kemudiannya menyiarkan tangkapan skrin perbualan mereka di Instagram. 

Senario itu menyebabkan beribu-ribu pengguna Twitter menyelar Zara kerana lambat bertindak dalam menangani kontroversi berkenaan; dan Harhash melancarkan kempen agar Zara diboikot.

Perjuangan Harhash itu kini disambung pada tahun ini oleh Abu Souhaiban yang menurut laporan Yahoo.com telah menyeru orang ramai memboikot Zara.

Ketua Hakim Negara Palestin, Mahmoud Habbash. (FOTO: Law4Palestine.org)

Perkara itu berlaku selepas stesen TV tempatan di sana melaporkan bahawa Ben-Gvir menghadiri meja bulat yang dihoskan oleh Schwabel.

Trimera Brands memegang francais Israel untuk Zara yang mengendalikan sebanyak 24 cawangan, selain 1,800 cawangan lain di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Ketua Parti Buruh dan Menteri Pengangkutan Israel, Merav Michaeli menurut Yahoo.com berkata bahawa beliau tidak akan membeli-belah di Zara di Israel lagi.

“Saya tidak lagi akan membeli sebarang produk dari Zara atau Zara Group, bukan sahaja di Israel tetapi juga di luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2022

- Advertisement -