
HUJUNG minggu ini ada dua program di Terengganu. Program pertama adalah Program Pembudayaan Hidup Bersyariat selama tiga hari, dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.
Pelbagai pengisian diatur bagi memahamkan masyarakat berkenaan pelaksanaan syariat Islam dalam kehidupan di Terengganu.
Antara pengisiannya adalah:
1. Diskusi Pakar; Pelaksanaan Syariat Dalam Pentadbiran.
2. Penerangan Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Terengganu.
3. Forum: Perundangan Islam di Arus Kemodenan.
4. Kuliah; Syariat Islam Manhaj Kehidupan Sempurna.
5. Demo Sebatan Syariah vs Sebatan Sivil.
6. Kembara Jejak Ulama’.
Sangat menarik tajuk-tajuk pengisiannya. Menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan pelaksanaan syariah di Terengganu.
Pejuang-pejuang agenda pelaksanaan syariat wajib hadir ke program ini bagi jelas akan kedudukan terkini Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan syariat di Terengganu.
Program kedua adalah program Jom Heboh. Biar betul nak laksanakan syariat melalui Jom Heboh. Terkejut ke? Ye, itu yang kita nak buat di Terengganu.
Bila ada penganjur Jom Heboh dari luar negeri datang nak buat Jom Heboh, Kerajaan Negeri dengan tegas menyenaraikan garis panduan yang perlu diikuti penganjur, apatah lagi kini memasuki Bulan Maulidurrasul.
Persembahan pentas hanya artis lelaki, pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita, artis wanita yang mempromosi di reruai jualan perlu menutup aurat.
Semua syarat ini dipersetujui oleh penganjur untuk diikuti. Alhamdulillah, langkah pertama memperkenalkan garis panduan patuh syariah dalam penganjuran karnival Jom Heboh berjaya.
Jika program Pembudayaan Hidup Bersyariat diatas adalah teori pelaksanaan syariat, maka program Karnival Jom Heboh inilah akan menjadi medan pelaksanaan syariat yang sebenar.
Oleh kerana itu, kerajaan negeri benarkan dengan syarat sebagaimana yang dipersetujui. Pengalaman pahit di Kelantan dan Kedah pastinya membekas pada Terengganu untuk lebih berhati-hati.
Belum apa-apa, hasrat yang baik dari Kerajaan Negeri ini nampaknya dipersimpangkan oleh pihak penganjur dengan iklan Karnival Jom Heboh yang menggambarkan pelanggaran syarat dan syariat.
Ditonjolkan anak muda terkinja-kinja dalam video promosi. Apakah seperti itu Jom Heboh di Terengganu diadakan? Jika ya, anda telah langgar syarat kerajaan negeri.
Kedua, gambar artis wanita di poster dan video tidak menutup aurat. Apakah dalam karnival ini mereka tidak menutup aurat juga? Jika ya, penganjur telah melanggar syariat Tuhan.
Penganjur jangan bermain-main dengan syarat Kerajaan Negeri. Jika tidak, tindakan seperti di Kedah untuk menghalang penganjuran boleh dikuatkuasakan dengan serta merta.
Dari sudut hati, saya ingin Jom Heboh terlaksana sebagai satu bentuk pendidikan kepada penganjur-penganjur eventbesar bahawa boleh dilaksanakan karnival secara bersyariat.
Seterusnya mereka menganjurkan karnival dengan bentuk yang sama di luar dari negeri Terengganu, Kedah dan Kelantan.
Pun begitu, kerjasama yang erat dari penganjur diperlukan. Artis dapat cari makan, kerajaan negeri dapat tonjolkan syariat Islam.
AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 4/10/2022






















