
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kajian mendapati penetapan harga siling tiket penerbangan akan memberi kesan negatif kepada pengguna untuk jangka masa panjang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Henry Sum Agong, berkata dapatan itu adalah hasil kajian yang dijalankan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).
“Kerajaan melalui MAVCOM juga pernah membuat kajian mengenai penetapan harga siling bagi mengawal harga penerbangan pada Ogos 2018.
“Kajian menunjukkan mekanisme harga siling akan beri kesan negatif kepada pengguna dalam jangka panjang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun), pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan meminta Kementerian Pengangkutan menjelaskan mengenai kenaikan harga tambang penerbangan domestik, laluan Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya terutamanya apabila tiba musim perayaan.
Beliau juga meminta Kementerian Pengangkutan memberi jaminan kenaikan harga semasa musim perayaan tidak berlaku selain memohon penjelasan mengenai rancangan dan inisiatif kementerian bagi mengatasinya.
Bagaimanapun, Henry Sum berkata, kerajaan tidak mengawal harga tiket penerbangan selari dengan keputusan jemaah menteri pada tahun 2006.
Selain itu, katanya MAVCOM mendapati laluan yang mempunyai kekerapan penerbangan rendah terutama semasa musim puncak, secara umumnya akan merekodkan harga penerbangan yang lebih tinggi.
Katanya, kerajaan juga memantau harga tiket dan kekerapan penerbangan domestik terutama bagi laluan Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan negara meningkatkan kapasiti penerbangan semasa musim perayaan khususnya di laluan yang mempunyai permintaan tinggi seperti Kuala Lumpur-Sibu, Pulau Pinang-Sibu dan Johor Bahru-Sibu.
“Bagaimanapun, keputusan meningkatkan kekerapan bagi laluan tersebut adalah keputusan komersial yang dibuat oleh syarikat penerbangan berasaskan kepada daya maju komersial laluan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2022











