
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) kini menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa, Turkish Airlines untuk menguruskan kira-kira 6,500 jemaah umrah dan pelancong ke Turkiye dari Ogos 2022 hingga Mei tahun depan.
Kerjasama itu akan melibatkan penerbangan seramai 5,040 jemaah umrah dan ziarah tahun 1444 Hijrah 2022/2023 serta 1,200 pelancong dengan jumlah keseluruhan nilai kontrak mencecah RM25 juta dan deposit sebanyak RM1.764 juta.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pihaknya optimis kesemua jumlah kerusi penerbangan itu akan terjual sepanjang tempoh itu dengan kelebihan pakej yang ditawarkan syarikat berkenaan.
“Satu kelebihan ialah kami berkolaborasi dengan syarikat di sana (Turkiye) untuk membawa pelancong dan jemaah umrah ke Istanbul. Kebanyakan pemandu pelancong yang kami gunakan pula boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
“Malah penduduk tempatan di Turkiye juga kini sudah terbiasa dengan rakyat Malaysia, dan hubungan antara rakyat Malaysia dan rakyat di sana juga semakin akrab,” katanya.

Ida Riswana berkata demikian dalam sidang media Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) Andalusia Travel dan Turkish Airlines di Impiana Hotel & Spa, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengurus Turkish Airlines di Malaysia, Muhammad Hamza Arslan dan Pengurus Jualan Turkish Airlines, Dila Gurses.
Tambahnya, peluang menziarahi bumi Turkiye yang kaya dengan sejarah dan tamadun Islam sebelum menunaikan umrah adalah sesuatu yang sangat baik buat rakyat Malaysia.
Menurut beliau, jika sebelum ini pelancong perlu membeli dua tiket penerbangan berasingan ke Turkiye dan Makkah, namun dengan pakej yang ditawarkan Andalusia, semuanya sudah tersedia.

“Selain itu, pakej yang ditawarkan juga menjimatkan kos dan banyak membantu pelancong yang ingin menziarahi kedua-dua negara dalam satu perjalanan.
“Ramai jemaah suka, apatah lagi jemaah yang sudah terbiasa menunaikan umrah. Mereka berhasrat untuk ziarah negara lain pula. Jadi, ini adalah satu pakej yang agak komprehensif,” jelasnya.
Tambah Ida Riswana, harga pakej yang ditawarkan Andalusia bermula daripada RM8,990 termasuk visa semasa masing-masing di Bursa dan Istanbul selama empat hari tiga malam, dan 10 hari di Madinah dan Makkah. – HARAKAHDAILY 29/8/2022




















