
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Sebanyak 40,828 hektar tanaman padi musnah akibat banjir di Semenanjung Malaysia, manakala 9,336 hektar rosak akibat kemarau sepanjang tempoh 2017 hingga tahun lalu.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perubahan iklim telah meningkatkan risiko kejadian bencana.
Selain perubahan iklim, katanya penularan Covid-19, peningkatan inflasi, pertambahan populasi dan kekurangan sumber asli adalah kekangan yang dihadapi sektor agromakanan.
“Dasar perlindungan yang diamalkan beberapa buah negara akibat pandemik Covid-19 serta konflik Rusia-Ukraine, memberi kesan terhadap rantaian bekalan makanan dunia, termasuk Malaysia.
“Peningkatan inflasi juga memberi kesan terhadap kitaran pengeluaran bahan makanan disebabkan kenaikan harga makanan ternakan dan input pertanian, seperti baja dan racun selain kenaikan kos logistik pasca pandemik Covid-19
“Isu kekurangan sumber asli seperti kawasan tanah yang terhad dan semakin berkurangan merupakan antara cabaran yang dihadapi selain perubahan iklim global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato’ Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Nazlan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyatakan cabaran yang dihadapi sektor agromakanan negara dalam memastikan rantaian bekalan makanan negara stabil dan lancar.
Menurut Ronald, pertambahan populasi, produktiviti dan inovasi pertanian yang rendah, amalan pertanian yang tidak mampan, manipulasi orang tengah dalam rantaian pemasaran dan kekurangan pelaburan swasta juga menjadi kekangan sektor agromakanan negara.
Katanya, serangan penyakit dan perosak, penggunaan teknologi dan pertanian pintar yang rendah, kebergantungan kepada pekerja asing dan kekurangan penglibatan golongan muda turut menjadi cabaran dalam sektor berkenaan.
Bagi menghadapi cabaran itu, katanya MAFI akan terus melaksanakan strategi mengikut Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
Tindakan itu, katanya bagi mendepani cabaran sekuriti makanan secara inklusif supaya sistem makanan negara lebih berdaya tahan dan mampan.
“Dalam hal ini, usaha-usaha untuk memperkukuh sekuriti makanan akan terus diperkasa menerusi kerjasama dan kolaborasi strategik semua pihak.
“Usaha ini bagi meningkatkan tahap pengeluaran makanan negara dan memantapkan rantaian bekalan makanan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/7/2022




















