MB jamin kerjasama penuh KeTSA siasat tragedi di Baling

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengalu-alukan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan mengetuai jawatankuasa siasatan bencana kepala air atau aliran puing di Kupang, Baling.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa semua agensi kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh terhadap jawatankuasa berkenaan dalam sebarang aspek siasatan yang diperlukan.

“Adalah menjadi harapan kita semua agar jawatankuasa ini dapat melaksanakan tugasan dan tanggungjawab mereka bagi mencari punca dan juga penyelesaian secara tuntas, terutama dalam usaha mengelak tragedi seperti ini berulang pada masa akan datang,” ujarnya.

Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan pihaknya diarahkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengetuai agensi lain bagi menjalankan siasatan terperinci tragedi tersebut.

“Saya baharu terima arahan daripada JPM melalui Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) bahawa KeTSa diarahkan untuk mengetuai agensi bagi menjalankan siasatan isu banjir dan kepala air di Baling.

“Di bawah KeTSA ada banyak jabatan iaitu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM); Jabatan Mineral dan Geosains (JMG); Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Ia akan dipengerusikan KSN (Tan Sri Mohd Zuki Ali) sendiri tetapi KeTSA akan mengetuai agensi itu,” katanya selepas sesi penggulungan RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pihaknya memberi jaminan akan mengumumkan punca kejadian dalam kadar segera dan kerajaan juga tidak mempunyai halangan membentangkan kertas putih sekiranya hasil siasatan mendapati wujudnya keperluan berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -