
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk memperkenalkan cuti haid memerlukan penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan sebelum boleh dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata pihak berkenaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan.
Katanya, ini kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan pekerja wanita, tetapi memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan kumpulan sasar serta menggalakkan inisiatif baharu yang menyokong kesejahteraan dan kebajikan semua golongan termasuk wanita,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang), iaitu sama ada KPWKM mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Siti Zailah berkata, ketika ini terdapat kemudahan cuti sakit dan cuti rehat sedia ada yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja, sama ada di sektor swasta atau awam.
Sementara itu, katanya kemiskinan haid secara relatif merujuk kepada situasi apabila individu perempuan tidak mendapat akses kepada tuala wanita akibat kekangan kewangan.
“KPWKM berpandangan kajian lanjut perlu dilaksanakan berhubung keperluan pemberian subsidi tuala wanita bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar berhubung isu kemiskinan haid yang dialami oleh golongan wanita, terutama di kalangan isi rumah B40 di Malaysia.
“Selain itu, dapatan kajian ini membolehkan satu pendekatan yang lebih komprehensif dan bersasar diperkenalkan bagi menangani isu kemiskinan haid,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai cuti untuk wanita yang kematian suami, katanya setakat ini, cuti itu adalah selama tiga hari.
Bagaimanapun, katanya Kelantan adalah satu-satunya negeri di negara ini yang memberi cuti sehingga sebulan kepada kakitangan awam dengan gaji penuh kepada wanita yang kematian suami. – HARAKAHDAILY 20/7/22




















