Waris Sultan Sulu rampas aset PETRONAS RM8.87 bilion – Financial Times

Kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan untuk membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris Sultan Sulu di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis pada 3 Mac 2022. (FOTO Serambinews.com - Tribun)
- Advertisement -

LONDON: Dua anak syarikat milik syarikat gergasi minyak Malaysia, PETRONAS yang diperbadankan di Luxembourg didakwa telah dirampas oleh waris kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia dengan perjanjian yang didakwa ditandatangani 144 tahun lalu.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, peguam yang mewakili waris Sultan Sulu yang sebelum ini mendakwa memegang hak terhadap tanah di negeri Sabah berkata bahawa bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin (11 Julai).

- Advertisement -

Dua anak syarikat terbabit yang didaftarkan di Luxembourg itu ialah Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang menguruskan kepentingan gas syarikat tenaga milik PETRONAS, dilaporkan bernilai lebih daripada AS$2 billion (RM8.87 bilion).

Langkah itu, yang pertama kali dilaporkan, adalah sebahagian daripada usaha undang-undang yang dilancarkan pada 2017 oleh pewaris Sultan Sulu untuk memenangi pampasan ke atas tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878, sebelum penemuan besar sumber alam di kawasan tersebut.

Pada Mac 2022, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia, yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak RM62.59 bilion.

Aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dilaporkan telah dirampas oleh waris kesultanan Sulu yang sebelum ini menuntut sebanyak RM62.59 bilion dari Malaysia dengan perjanjian yang didakwa ditandatangani 144 tahun lalu.

Keturunan Sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II, menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara berkenaan.

Sehubungan itu, pada 3 Mac 2022, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi membatalkan Final Award berhubung isu tuntutan pihak mengaku sebagai waris Sultan Sulu di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis dalam memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu berkata, tindakan berkenaan dibuat bagi memastikan keputusan tersebut tidak boleh dikuatkuasakan selain memastikan Malaysia tidak perlu membayar wang pampasan sebanyak RM62.59 bilion seperti yang dituntut waris Sultan Sulu berkenaan. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -