PDRM siasat video wanita hina Islam

Video memaparkan aksi wanita menghina Islam tular di media sosial
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung isu video tular wanita yang didakwa mempersenda dan menghina kesucian agama Islam.

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata PDRM hari ini, menerima laporan polis berhubung penularan rakaman video menerusi aplikasiTikTok @mie_8099 yang menunjukkan seorang wanita menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

- Advertisement -

Menurutnya, video wanita berkenaan turut dikesan disebarkan melalui media sosial.

Katanya, siasatan berhubung kes ini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan media menerusi Facebook PDRM, hari ini.

Noorsiah juga meminta orang ramai tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, PDRM akan mengambil tindakan tegas seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba bertindak dalam apa juga cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Dato’ Noorsiah Mohd Saaduddin

Dalam video selama 54 saat dengan tajuk “acara menghina Islam?” yang tular di media sosial, seorang wanita menanggalkan pakaian dan tudungnya di hadapan penonton.

Sebelum itu, dia mengaku sebagai orang Melayu beragama Islam, malah hafaz ayat al-Quran.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya ………… Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and Muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum membuka tudung dan pakaian hingga tinggal singlet dan skirt pendek.

Perbuatan wanita itu kemudiannya mendapat sorakan daripada penonton dalam kelab tersebut.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato Idris Ahmad, meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), berkata isu itu sudah dalam tindakan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina kesucian agama Islam.

Dalam hantaran Facebook beliau, hari ini, Idris memulakan ulasan beliau dengan memetik hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, iaitu: “Jika engkau tidak merasa malu, maka buatlah sesuka mu.” – HARAKAHDAILY 9/7/22

- Advertisement -