
Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
TORONTO: Gergasi perkhidmatan telekomunikasi Kanada, Rogers Communications, mengalami gangguan rangkaian selama berjam-jam menyebabkan perkhidmatan internet untuk perniagaan, bank dan perkhidmatan kecemasan di seluruh Kanada tidak dapat diakses.
Ini memaksa rakyat Kanada berebut-rebut mencari akses internet. Pelanggan berkumpul di kafe kopi dan perpustakaan awam untuk mengakses rangkaian alternatif, manakala institusi kewangan melaporkan pelbagai masalah daripada mesin automatik hingga sistem pembayaran tanpa tunai.
“Kami mengalami gangguan rangkaian wayar dan tanpa wayar. Pasukan teknikal kami bekerja keras untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” kata Rogers dalam satu kenyataan media.
Ini diikuti dengan laporan “mencapai kemajuan”, tetapi tidak menyatakan dengan tepat bila pelanggan boleh mengharapkan perkhidmatan dipulihkan sepenuhnya. “Kami akan terus memastikan anda dimaklumkan, termasuk apabila perkhidmatan akan kembali dalam talian.”
Pengkritik berkata, gangguan itu menunjukkan keperluan untuk lebih banyak persaingan dalam industri telekomunikasi Kanada dengan pelanggan terpaksa membayar antara kadar harga tertinggi di dunia untuk talian telefon bimbit dan internet.
Rogers yang mempunyai kira-kira 10 juta pelanggan telefon bimbit dan 2.25 juta pelanggan internet runcit ialah penyedia perkhidmatan terkemuka di Ontario, wilayah paling ramai penduduk di Kanada. Rogers bersama Bell Canada dan Telus, menguasai 90 peratus pasaran telekomunikasi negara itu.
Menteri Perindustrian Kanada, Francois-Philippe Champagne, berkata pasukannya berhubung rapat dengan Rogers mengenai gangguan itu dan memantau keadaan dengan teliti.
Penduduk Toronto berkerumun ke dalam dan sekitar Kafe Starbucks yang menawarkan WiFi percuma menggunakan rangkaian yang tidak terjejas oleh gangguan itu.
“Ramai orang di sini dengan komputer riba mereka untuk bekerja kerana menghadapi masalah mendapat perkhidmatan internet di rumah,” kata pelanggan, Ken Rosenstein.
Seorang lagi penduduk, Andrew Revai, memberitahu bahawa Rogers perlu membuat perubahan untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.
Ini adalah gangguan besar kedua bagi Rogers dengan kejadian terakhir pada April tahun lalu. Ketika itu, beribu-ribu pelanggan melaporkan gangguan selama beberapa jam sebelum syarikat dapat memulihkan semula operasi seperti biasa. – HARAKAHDAILY 9/7/22




















