Laporan EIA: Penjelasan Ketua Pengarah Alam Sekitar

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Susulan kejadian banjir lumpur di Kampung lboi, Baling, Kedah yang berlaku baru-baru ini, pelbagai pihak telah mempersoalkan sama ada kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) telah dilaksanakan terhadap cadangan ladang hutan di Gunung lnas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, satu laporan EIA bertajuk Detailed Environmental Impact Assessment (DEJA) for the Development of Forest Plantation in Gunung lnas Forest Reserved Mukim Bakai, Kupang and Pulai, District of Baling, Kedah Darul Aman telah diluluskan pada 25 Julai 2013.

Katanya, laporan EIA tersebut diluluskan setelah Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Teknikal EIA (EIA Technical Review Committee) mendapati langkah-langkah pencegahan, mitigasi dan kawalan pencemaran adalah mencukupi.

Menurutnya, ahli jawatankuasa itu terdiri daripada agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri serta pakar-pakar mengikut bidang yang ditetapkan.

- Advertisement -

Beliau berkata, antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Pertanian, Majlis Daerah Baling, Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Kedah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Kedah, JAS Negeri Kedah serta Pejabat Tanah dan Daerah Baling.

Katanya lagi, cadangan projek itu dilaksanakan oleh Penggerak Projek Perbadanan Menteri Besar Kedah, JV Kedah Agro Plantation Sdn Bhd pada peringkat awal dan kemudian telah ditukar kepada Aman Mega Sdn Bhd.

Jelasnya, konsep projek yang dibenarkan adalah pembangunan ladang hutan dengan keluasan tidak melebihi 5,000 hektar yang mengandungi tiga komponen iaitu pembalakan dan silvikultur (penanaman semula spesis kayu atau tumbuhan sedia ada), tebang habis bagi tujuan penanaman getah klon balak dan pembangunan hutan yang terdiri daripada mono-crop forest plantation bagi penghasilan kayu getah dan latex.

“Berdasarkan siasatan JAS, satu notis arahan telah dikeluarkan pada 10 Mac 2021 kepada penggerak projek memandangkan terdapatnya perubahan konsep asal yang telah dilaksanakan di tapak tersebut iaitu ladang hutan tersebut telah ditanam dengan pokok durian, bukan pokok getah klon balak,” ujarnya dalam kenyataan, di sini.

Kata beliau, manakala pemeriksaan penguatkuasaan terkini JAS Negeri Kedah pada 24 Mei lalu mendapati tiada kerja-kerja penanaman semula anak benih pokok yang dijalankan di Kompartmen 8, Hutan Simpan Gunung lnas, Baling.

Menurutnya lagi, tiada juga aktiviti pembalakan aktif atau penanaman semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sehingga hari ini kerana aktiviti tersebut tidak mendapat kelulusan kerja daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan lndustri (MITI).

Walau bagaimanapun, ujar beliau tanaman tutup bumi telah ditanam dan telah tumbuh menutupi kawasan tanah yang terdedah.

“Saya telah mengarahkan JAS Negeri Kedah untuk meneruskan pemantauan dan melaksanakan penguatkuasaan secara berkala dan berterusan bagi memastikan mana-mana aktiviti pembangunan di Negeri Kedah yang tertakluk keperluan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 sentiasa mematuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” ujarnya.

Beliau juga ingin mengingatkan supaya semua penggerak projek pembangunan yang tertakluk kepada EIA supaya sentiasa mematuhi semua syarat kelulusan Laporan EIA dan undang­-undang yang berkuasa.

Justeru, beliau menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e­mel ke aduan [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan .doe.gov.my. – HARAKAHDAILY 9/7/2022

- Advertisement -