
SAYA mula mengenali peradaban Jepun semasa menjadi salah seorang petugas dalam Jawatankuasa Penganjur Inter-Civilisational Dialogue: Islam, Japan and The West. Persidangan tersebut dianjurkan oleh Universiti Malaya yang dikemudikan secara khusus oleh Prof Dr Osman Bakar, salah seorang pelopor Dialog Peradaban di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ketika persidangan tersebut saya ditugaskan untuk mengiringi Dr Surin Pitsuan dan Dr Nurcholis Majid dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sehingga ke tempat persidangan. Salah seorang tokoh jemputan dari Jepun yang sempat saya kenali ialah Prof Dr Kosugi Yashushi, seorang lepasan Universiti al-Azhar yang ketika itu mengajar di Universiti Kyoto.
Dalam persidangan tersebut, secara tidak langsung Jepun telah diangkat sebagai sebuah peradaban dunia hari ini, bukan sekadar budaya. Bagi mereka yang mengkaji bidang peradaban, terdapat perbezaan antara peradaban dan budaya, meskipun banyak persamaan antara keduanya. Ruang pengaruh peradaban lebih luas berbanding dengan pengaruh budaya, manakala tempoh pengaruh peradaban terhadap sesuatu komuniti pula lebih berkekalan. Secara realitinya ketika itu dan juga hari ini, Jepun sememangnya layak dihargai sebagai sebuah peradaban berdasarkan kepada pengaruhnya luas terhadap masyarakat global, seiring dengan peradaban Islam, Barat dan Konfusianisme.
Pada September 2002 saya berpeluang menjejakkan kaki ke Jepun menjadi Sarjana Pelawat di Universiti Kyoto di bawah tajaan Japanese Society for Promotion of Science (JSPS). Prof Dr Saburo Matsui dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kyoto, menjadi tuan rumah kepada lawatan tersebut. Di situ saya melihat dengan mata kepala sendiri sebuah masyarakat yang dikatakan sebagai masyarakat berperadaban (civilised society) yang menjadi teladan dunia ketika ini. Nilai-nilai peradaban yang terpuji wujud pada masyarakat Jepun seperti kebersihan, kerajinan, kejujuran dan lain-lain. Oleh sebab itu, tidak hairan jika Jepun merupakan kuasa ekonomi ketiga terbesar dunia ketika ini.
Jepun juga mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat Islam Asia Tenggara. Hubungan tersebut telah bermula sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Menurut laporan kajian ‘Hang Tuah: Catatan Okinawa‘ oleh Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin, Hang Tuah pernah menjejakkan kaki di Okinawa dalam usaha mempereratkan hubungan dengan Kesultanan Melaka. Sehingga hari ini, hubungan antara masyarakat Islam di Asia Tenggara dengan Jepun masih sangat erat. Kebangkitan ekonomi Malaysia sebagai salah sebuah negara Harimau Asia bermula awal 1980-an banyak disumbangkan oleh pelaburan dari Jepun sama ada dalam bidang elektronik atau lain-lain.
Secara khusus, hubungan Jepun dan Malaysia semakin erat sejak Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur. Semenjak itu, bukan sahaja Teknologi Jepun dibawa masuk ke Malaysia, bahkan budaya masyarakat Jepun juga dibawa ke sini. Demikian juga, sebelum gelombang Hallyu melanda Malaysia, gelombang budaya popular Jepun juga pernah melanda Malaysia. Siri Drama Jepun ‘Oshin’ menjadi buah mulut penonton drama di Malaysia. Cerita animasi kanak-kanak seperti Doraemon dan cerita fiksyen kanak-kanak seperti Ultraman juga menempati peti-peti televisyen masyarakat Malaysia. Oleh sebab itu budaya Jepun bukan asing di negara ini.
Bagaimanapun, sehari dua ini, timbul polemik berkaitan dengan satu perayaan keagamaan yang dirayakan oleh masyarakat Jepun iaitu Bon atau O-Bon. Perayaan tersebut jelas sekali adalah perayaan keagamaan khususnya bagi masyarakat Buddha di Jepun, memuja ruh orang-orang tua mereka yang telah mati. Perayaan tersebut sama dengan Perayaan Hantu yang disambut oleh masyarakat sebelah Asia Timur yang lain. Ia juga hampir sama dengan Pesta Puja Pantai yang pernah dilakukan di negara ini satu ketika dahulu. Berkaitan dengan Pesta Puja Pantai ini, pihak berkuasa agama dan para ulamak di Malaysia secara tegas telah mengharamkan penganjuran pesta tersebut.
Sebagaimana Pesta Puja Pantai, Perayaan Bon juga mengandungi amalan-amalan budaya sebagai acara menyambut pesta atau perayaan tersebut. Amalan budaya tersebut seperti acara jamuan, acara berpakaian, acara permainan, acara tarian dan seumpamanya. Secara ringkasnya bagi memudahkan kefahaman, Perayaan Bon ini adalah perayaan keagamaan yang terkandung acara berkaitan budaya di dalamnya. Oleh sebab ia adalah perayaan keagamaan, maka orang Islam tidak dibenarkan menganjurkannya. Adapun bagi masyarakat bukan Islam mereka berhak menganjurkan perayaan itu, tetapi tidak menjemput masyarakat Islam merayakannya bersama-sama, walaupun dengan menghadiri acara budaya di dalamnya.
Sesuatu yang sangat menarik telah dilakukan oleh masyarakat Pantai Timur Malaysia, mereka telah mengubah Pesta Puja Pantai kepada Pesta Pantai yang tidak melibatkan lagi amalan-amalan ritual dan sebaliknya mengekalkan amalan-amalan budaya. Maka perubahan tersebut menjadikan pesta itu bukan lagi perayaan keagamaan sebaliknya menjadi perayaan kebudayaan. Katakanlah, ada masyarakat peribumi berkepercayaan animisme memohon untuk dimasukkan satu acara ritual mereka dalam pesta tersebut, tetapi tertutup untuk dirayakan oleh mereka sahaja, maka Pesta Pantai itu tetap perayaan kebudayaan, yang boleh dihadiri oleh masyarakat Islam kecuali acara ritual tertutup yang dibuat oleh masyarakat peribumi tersebut.
Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri Kelantan pernah menganjurkan Pesta Budaya Kelantan-Jepun, dan turut dianjurkan pada tahun ini. Jelas sekali, pesta tersebut adalah perayaan kebudayaan bukannya perayaan keagamaan. Berbanding tahun 2019, pada tahun ini pesta tersebut tiada lagi acara Tarian Bon atau Bon Dori. Acara Bon Dori sebenarnya adalah acara ritual berkaitan dengan Perayaan Bon. Pada pandangan saya, sekiranya masyarakat Jepun atau masyarakat bukan-Islam di Kelantan mahu menyelitkan acara itu di dalam Pesta Budaya Kelantan-Jepun, ia dibolehkan dengan syarat ia tertutup tidak disertai oleh masyarakat Islam. Walaupun diselitkan acara ritual tertutup, ia tidak mengubah status pesta keseluruhan sebagai perayaan kebudayaan.
Kesimpulannya, menghargai sesuatu peradaban ialah dengan sikap saling berkongsi perkara yang ada titik persamaan dan menghormati perkara yang kita tidak boleh tidak berbeza. Islam dan peradaban lain mempunyai banyak titik persamaan dalam perkara moral dan manusiawi. Manakala Islam dan peradaban lain, tidak mungkin boleh berkongsi dalam perkara kepercayaan dan ukhrawi. Walaupun tidak boleh berkongsi, tetapi masyarakat Islam diajar menghormati penganut agama lain, tidak menghina sembahan mereka dan memberi hak untuk mereka beramal dengan kerpercayaan mereka. Tahniah Kerajaan Negeri Kelantan berjaya berunding bagaimana penganjuran Pesta Budaya Kelantan-Jepun boleh dilangsungkan.
DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/6/2022




















