NAFAS bekal baja subsidi padi sebelum 15 Jun ini

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kelewatan bekalan bahan mentah dikenal pasti antara punca kelewatan pesawah khususnya di kawasan Muda mendapat bekalan baja subsidi.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, isu tersebut dalam tindakan MADA dan akan diatasi segera bagi penanaman padi musim 1/2022.

Katanya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai pembekal bagi Program Skim Baja Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) untuk penanam padi di seluruh Malaysia.

- Advertisement -

“NAFAS sudah mengambil tindakan isu kelewatan baja dan akan membekalkan stok NPK Sebatian dan Baja Urea sebelum 15 Jun 2022.

“Manakala stok baja NPK Tambahan sebelum 30 Jun 2022 ini,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan 80 petani di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar kecewa kerana belum menerima bekalan baja subsidi daripada MADA, sedangkan benih padi ditabur pada April lalu.

Tarmizi juga berkata, dianggar sebanyak 1,097,396 beg baja NPK Sebatian, 410,910 beg baja Urea dan dan 609,349 beg baja NPK Tambahan diperlukan untuk menampung keperluan pesawah di kawasan Muda.

Menurutnya juga kelewatan pembekalan penghantaran baja di bawah SBPKP dan SIPP dibincang pada Mesyuarat Penyelarasan 1 Jun lalu yang melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi Dan Beras MAFI, NAFAS, MADA dan Lembaga Pertubuhan Peladang Kedah dan Perlis.

Bagaimanapun katanya sehingga 9 Jun kawasan Muda menerima baja sebatian sebanyak 808,421 beg (74 peratus), baja urea 247,700 beg (60 peratus) dan baja NPK Tambahan 171,532beg (28 peratus).

“Penghantaran baja kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan dipantau Bahagian Pembangunan Industri Padi dan Beras (IPB) dan MADA secara harian agar isu kelewatan baja akan dapat diselesaikan,” tambahnya.

Justeru itu beliau berharap NAFAS mempercepatkan pengedaran baja di kawasan Muda. – HARAKAHDAILY 10/6/2022

- Advertisement -