Perkasa bahasa Melayu, tulisan Jawi tanggungjawab bersama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata isu pemerkasaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi kepada segenap generasi merupakan tanggungjawab bersama.

Sehubungan itu, beliau berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran serta barisan tertinggi DBP ke pejabatnya, pagi tadi.

Menurutnya, agenda cukup penting yang dibincangkan iaitu pemerkasaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

- Advertisement -

“Datuk Awang Sariyan membuka seluasnya kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama DBP dalam usaha murni ini. Satu inisiatif yang baik untuk digerakkan Bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya, antara yang lain adalah mengenai pemerkasaan ilmu wakaf di Malaysia.

“Saya menyambut baik cadangan untuk diperbanyakkan kerja-kerja penterjemahan khazanah ilmu sumber luar daripada buku-buku bahasa Arab dan sebagainya.

“Alhamdulillah, pertemuan yang amat baik. Sesi dua hala yang menatijahkan kebaikan buat pemerkasaan bahasa khususnya bahasa Melayu dan tulisan Jawi di Malaysia,” ujarnya lagi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr Awang Sariyan dan Abang Sallehuddin bersama pasukan atas perbincangan yang amat baik itu. – HARAKAHDAILY 3/6/2022

- Advertisement -