
Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
MARANG: PAS sentiasa bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, namun dalam masa yang sama memberi amaran Ianya tidak perlu disegerakan agar tidak menyusahkan rakyat yang sedang bergelut dengan masalah ekonomi, keselamatan dan sebagainya.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS tidak bimbang dengan pilihan raya kerana parti itu sentiasa bersiap siaga tetapi lebih memikirkan masalah rakyat.
Katanya, kesan masalah ekonomi dunia turut melibatkan Malaysia akibat daripada inflasi, perang Rusia dengan Ukraine, krisis harga minyak dan lain-lain.
“Kita bersedia juga, kita bersedia bila-bila masa sahaja, tapi kita ambil kira rakyat, kesusahan rakyat perlu selesaikan, biar kerajaan selesaikan kesusahan rakyat dulu (sebelum) nak pilihan raya.
“Masalah ekonomi dunia yang berlaku akan beri kesan kepada Malaysia, dan pembangkang pula duduk tuduh kerajaan, dia tidak baca seluruh dunia, Malaysia duduk dalam dunia, jadi kita terkesan lah.
“(Dan) Kita akan lihat sejauh mana perkembangan ekonomi dunia, Perang Rusia-Ukraine dan hal-hal lain lagi, krisis harga minyak dan macam-macam. Ini kesan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengingatkan, kerajaan terpaksa mengawal golongan peniaga oportunis yang mengambil kesempatan ke atas rakyat dengan kenaikan harga barang.
“Termasuklah peniaga yang oportunis, yang ambil kesempatan yang kerajaan kena kawal peniaga ini, kerajaan kena kawal bukan sahaja melihat kepada pengguna, termasuklah kepada peniaga yang mengambil kesempatan, yang salah dan tak betul.
“Itu perlu kawalan, kalau dapat selesaikan ini tak apa, insya-Allah. Dan Covid-19 pun belum diisytihar tamat lagi, wabak masih lagi,” tegasnya.
Ketika ditanya mengenai desakan pihak tertentu agar PRU15 dipercepatkan, kata Tuan Guru Abdul Hadi, PAS tidak bergantung kepada desakan orang.
“Kita tak bergantung kepada desakan orang, jangan! Orang ni nak kuasa je, kita bukan nak kuasa, kita pilih rakyat sama. Jangan susahkan rakyat,” ujarnya.
Mengulas dakwaan bekas pimpinan PAS bahawa terdapat 32 kerusi Parlimen yang kritikal jika PAS tidak bersama Muafakat Nasional (MN) pada PRU15, Tan Sri Abdul Hadi ada jawapannya.
“Itu dia kata, kita ada kajian kita sendiri, ‘postmortem’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, kita dapati undi BN (Barisan Nasional) tak berganjak (meningkat) dan begitu sahaja.
“Peratus undi rendah, mereka yang undi Pakatan Harapan (PH) tak undi PH lagi dalam PRN baru ini dan undi kita meningkat sehingga 100 peratus, 200 peratus.
“Cuma yang tak keluar mengundi terlalu ramai, sebab itu perkembangan kita sangat positif,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 3/6/2022




















