Ar Rahn bantu rakyat Kelantan ketika PKP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sistem gadaian Islam (Ar Rahn) memainkan peranan besar membantu rakyat Kelantan ketika mereka berdepan kesukaran semasa penularan wabak Covid-19.

Agensi kendalian Permodalan Kelantan Bhd (PKB) tersebut menjadi tumpuan orang ramai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mendapatkan wang tunai dengan menggadaikan barangan kemas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Ab Aziz Yunus berkata, Ar-Rahn mencatatkan jumlah transaksi yang memberansangkan sepanjang tempoh PKP.

- Advertisement -

Katanya ramai rakyat Kelantan mengambil kesempatan memajak barangan kemas mereka untuk mendapatkan wang tunai bagi tujuan tertentu.

“Malah lebih membanggakan ada dalam kalangan mereka turut memanfaatkan bantuan moratorium kerajaan untuk menebus kembali barangan kemas yang dipajak di Ar Rahn,” katanya di sini.

Ar Rahn yang diwujudkan PKB pada 1992 mempelopori sistem gadaian Islam secara komersial di negara ini. Sekarang Ar Rahn mempunyai 100 cawangan termasuk 65 premis yang diurus secara francaise.

Ar Rahn milik kerajaan Kelantan itu juga mempunyai sembilan cawangan di Sabah, selepas bertapak di Putatan dan Api-Api pada 2014.

Ab Aziz berkata, peranan Ar Rahn tidak dapat dinafikan turut membantu orang ramai yang berdepan dengan masalah kewangan ketika pelaksanaan PKP sebelum ini.

“Ramai rakyat Kelantan memiliki barang kemas yang bukan sahaja digunakan sebagai perhiasan, sebaliknya membantu mereka ketika berdepan dengan kesuntukan kewangan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -