
TITAH Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 Februari lalu diselitkan dengan beberapa rangkap pantun antaranya:
“Gunung Kinabalu sama didaki, Sungai Pahang sama direnang, Jikalau semua bersatu hati, kerja yang susah menjadi senang.
“Busana tradisi kain bersulam, Warnanya jingga berawan larat, Cukuplah berpolitik siang dan malam, Fokuskan menjaga kepentingan rakyat”.
Tuanku melafazkan kesyukuran Baginda apabila pihak kerajaan pimpinan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub berjaya mewujudkan kestabilan politik dalam negara. Menurut Baginda kestabilan tersebut penting bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat dan masa hadapan negara.
Malaysia berhadapan dengan ketidakstabilan politik sejurus Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 dahulu. Buat pertama kali dalam sejarah kekuatan Kerajaan Persekutuan kini bertunjangkan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam dan parti DAP yang diketuai bukan Melayu memegang dominasi dalam kerajaan.
Walaupun Tun Dr Mahathir Mohammad diangkat sebagai Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah Ismail sebagai Timbalannya, namun kerajaan baru ini dilihat dengan penuh curiga dan kebimbangan oleh masyarakat Melayu yang merupakan penduduk majoriti dalam negara.
Dan sepanjang 22 bulan pemerintahan mereka beberapa isu kontroversi tercetus sehingga menyemarakkan lagi ketidakpuasan hati rakyat yang menyumbang kepada kestidakstabilan politik. Rakyat sehingga keluar ke jalanan, protes beberapa isu besar termasuklah berkenaan rektifikasi ICERD dan Statu Rom.
Selain itu janji-janji bulan dan bintang sebagaimana terkandung dalam manifesto PH tidak ditepati, dan rakyat semakin cemas, tertekan dan tertipu.
Malah Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri PH sendiri hadir dan meraikan Kongres Maruah Melayu yang dipenuhi dengan ucapan dan pembentangan yang rata-rata menonjolkan permasalahan umat Melayu Islam yang semakin memuncak, kesemuanya dikaitkan dengan suasana ketidakstabilan politik yang ada. Sehinggakan Tun sendiri mengakui beliau tidak memiliki kekuatan politik seperti dahulu lantaran kerajaan Persekutuan kini didominasi DAP.
Ringkasnya Kerajaan PH akhirnya tumbang apabila Tun Dr Mahathir letak jawatan secara mengejut dan digantikan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran peristiwa ‘Langkah Sheraton’.
Kemudiannya Muhyiddin pula digantikan sebagai Perdana Menteri dan naik Ismail Sabri sehingga hari ini.
Hari ini PH duduk dibangku pembangkang manakala kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Ismail Sabri didukungi beberapa parti termasuklah BN, PN, GPS dan Bebas memerintah bersama.
Dan atas beberapa inisiatif dan pendekatan yang berani dan matang, Perdana Menteri kini telah berjaya memulihkan keyakinan rakyat dan membawa negara fokus untuk memulihkan ekonomi dan kembali kepada kehidupan normal khasnya setelah berhadapan pandemik COVID-19 selama lebih 2 tahun.
Sebagaimana titah Seri Paduka:
“Kematangan politik seperti inilah yang didambakan rakyat beta. Melangkah ke hadapan, beta menyeru kepada Ahli Yang Berhormat untuk terus mengekalkan persefahaman yang terbina dan memelihara kestabilan politik yang tercapai.”
“Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat-menghormati hendaklah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat beta.
“Bantu dan mudahkan segala urusan rakyat untuk membina semula kehidupan mereka dengan rasa selamat, aman dan makmur demi negara kita yang tercinta,”
Justeru mengekalkan kestabilan ini penting demi masa depan rakyat dan negara. Segala yang berkaitan kontrak sosial yang jelas memelihara kepentingan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan hanya dapat dibela dan dipertahankan kiranya kerajaan yang memerintah mewakili majoriti rakyat dan tidak sebaliknya.
Kerana itu penting rakyat memastikan teraju negara dipegang oleh saf kepimpinan yang bertaqwa, berintegriti dan disenangi semua. Hanya dengan kedudukan seumpama ini barulah kestabilan politik dapat dikecapi dan negara dan kerajaan dapat diuruskan dengan baik tanpa ada gangguan atau usaha yang boleh merebah atau menjatuhkannya.
Di sinilah pentingnya sebagaimana dibayangkan Yang di-Pertuan Agong agar rakyat jelata sendiri bersatu hati, matang dalam berpolitik sehingga tidak terbantut kemajuan dan pembangunan negara akibat terlalu berpolitik. Masa depan negara sesungguhnya terletak di tangan kita, kitalah yang mencorakkan nasib kita sendiri.
Demokrasi perlu subur namun amalannya biarlah setimpal dengan budaya dan adat kehidupan kita, bukannya mengimport budaya asing sehinggakan tiada lagi adab dan hormat.
Kita bertanggungjawab menaikkan pemimpin yang berkualiti jika kita dambakan kerajaan yang baik yang dapat memperjuangkan hidup dan kepentingan kita, maka berusahalah ke arah itu.
Jangan mudah terperangkap dengan politik adu-domba dan terlalu taksub dengan pemimpin dan kelompok yang hanya memikirkan nasib dan masa depan mereka, bukannya untuk rakyat.
Keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini untuk mengekalkan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri Malaysia dalam PRU ke-15 nanti sesungguhnya adalah langkah yang bijak dan mengundang kestabilan politik yang sihat.
Hari ini ternyata kita memiliki seorang Perdana Menteri yang cukup berwibawa, berintegriti dan lebih penting diterima dan disenangi rakyat. Beliau telah membuktikan kemampuan beliau dalam mengemudi negara keluar dari ancaman pandemik COVID-19 dan kini sedang rancak memulihkan ekonomi negara bersama anggota kabinetnya.
Kita tidak mahu kestabilan ini terganggu-gugat sehingga membuka ruang untuk pihak lain kembali memegang teraju negara. Cukuplah rakyat berhadapan pengalaman getir 22 bulan pemerintahan PH.
PAS melalui Setiausaha Agungnya turut mengalu-alukan langkah ini dan sebagaimana semangat titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong, biarlah kita beri fokus pada kepentingan rakyat, status quo yang ada perlu dikekalkan dengan penambah-baikan yang boleh menyumbang kepada kestabilan politik yang berkekalan.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 21/4/2022




















